fbpx

Terlalu percaya GPS, sampai lawan arus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar rakaman video tular yang memaparkan sebuah lori penghantaran barang yang dipandu melawan arus dalam kejadian di Jalan Persiaran S2/3, Seremban 2, Seremban semalam.

SEREMBAN – Polis menahan seorang pemandu lori penghantaran barang selepas dia didapati memandu melawan arus dalam kejadian di Jalan Persiaran S2/3, Seremban 2 di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pada pukul lebih kurang 7.40 petang telah tular satu rakaman video berdurasi 51 saat di media sosial memaparkan sebuah lori berwarna putih yang bergerak melawan arus di jalan tersebut.

“Kejadian dipercayai berlaku lebih kurang pukul 11.39 pagi. Usaha mengesan suspek dilakukan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis (IPD) Seremban.

“Ia kemudian membawa kepada penahanan seorang lelaki berumur 54 tahun pada hari sama bersama sebuah lori yang dipandu pada masa kejadian di Balai Trafik IPD Seremban.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang pada masa itu membuat penghantaran barang di kawasan Seremban tidak perasan laluan tersebut tidak boleh dilalui. Suspek dikatakan hanya memandu berpandukan aplikasi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) kerana tidak biasa dengan laluan di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi.

Berikutan itu, Mohamad Hatta berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Dalam pada itu katanya, semua pengguna jalanraya dinasihatkan untuk memandu dengan lebih berhati-hati dan mematuhi undang-undang bagi memastikan keselamatan semua pihak. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI