fbpx

Lagi premis haram proses sisa elektronik digempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat kuasa JAS mengambil sampel sisa elektronik di sebuah premis yang beroperasi secara haram di Sungai Petani, malam tadi.

SUNGAI PETANI – Sebuah lagi premis haram yang disyaki memproses sisa elektronik digempur Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah di sebuah kawasan perindustrian di sini semalam.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya mengesan aktiviti pemindahan disyaki buangan terjadual dari sebuah premis di kawasan tersebut.

“Pasukan penguat kuasa JAS negeri terdiri daripada 13 pegawai bersama lapan anggota polis kemudian memecah masuk dan menyerbu premis itu kira-kira pukul 9 malam.

“Beberapa individu yang berada di dalam kilang sempat melarikan diri melalui laluan belakang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, hasil siasatan yang dijalankan mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual iaitu buangan elektronik secara haram.

“Premis disyaki melakukan kerja-kerja pengasingan dan menempatkan buangan terjadual SW110 iaitu e-waste daripada pemasangan elektrikal dan elektronik, PCB board, sekerap logam dan SW 103 iaitu bateri litium terpakai.

“Terdapat sebuah lori treler di dalam premis dan sebahagian buangan sekerap logam dan satu jumbo bag yang disyaki buangan terjadual sedang dimuatkan ke dalam treler tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, terdapat empat longgokan e-waste daripada pemasangan elektrikal dan elektronik, PCB board, sekerap logam, bateri terpakai dan sisa-sisa wayar dijumpai di dalam premis.

“Sampel-sampel buangan telah diambil daripada longgokan buangan terjadual tersebut serta daripada beg jumbo yang telah dimuatkan ke dalam lori treler. Sampel akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk tujuan analisis,” jelasnya.

Tambahnya, kesemua buangan terjadual serta lori yang dijumpai di dalam premis telah disita dengan nilai anggaran keseluruhan RM700,000 selain dokumen berkaitan.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 18, Seksyen 34A, Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 (Akta 127).

“Selain itu, kita juga akan memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung premis yang beroperasi secara haram untuk tindakan di bawah bidang kuasa agensi tersebut,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan JAS Kedah menyerbu dua buah kilang kitar semula yang disyaki memproses sisa elektronik dan plastik terpakai secara haram di sebuah kawasan perindustrian, di sini.

Dalam serbuan itu, kira-kira 1,500 tan metrik sisa elektronik serta 100 tan metrik plastik terpakai disita. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI