HAMBURG – Tonggak pertahanan Turkiye, Ferdi Kadioglu teruja dengan prospek bertemu negara kelahirannya apabila membuat perhitungan dengan Belanda pada aksi suku akhir Euro 2024 di Olympiastadion, Berlin awal pagi esok.
Pemain berusia 24 tahun itu merupakan bintang cemerlang The Crescent Stars dalam kemenangan 2-1 ke atas Austria pada pusingan 16 terbaik baru-baru ini apabila mencatatkan sentuhan bola paling banyak di atas padang iaitu 71 sentuhan.
“Ini akan menjadi perlawanan yang sangat istimewa menentang Belanda apatah lagi ini adalah kejohanan pertama saya bersama Turkiye. Mencapai suku akhir adalah sesuatu yang sangat hebat.
“Belanda perlu takut kepada kami kerana kami mencipta peluang berbahaya dan bermain dengan baik dari aspek pertahanan. Kami berjuang dengan sangat hebat,” katanya.
Dalam masa sama, Turkiye mempunyai sembilan pemain yang perlu berhati-hati kerana satu lagi kad kuning akan menyebabkan mereka terlepas perlawanan separuh akhir sekiranya menang ke atas Belanda awal pagi esok.
Selain itu, Turkiye akan bermain tanpa Orkun Kokcu dan Ismael Yuksek yang digantung perlawanan, tetapi mereka menerima lonjakan besar dengan kembalinya kapten, Hakan Calhanoglu yang digantung daripada perlawanan menentang Austria.
Jurulatih Turkiye, Vincenzo Montella percaya mereka boleh mencipta satu lagi keajaiban di pentas Euro kali ini dalam misi melangkah ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2008.
“Kami mendapat sokongan besar. Ada semangat dan cinta yang benar-benar dirasai di Turki, jadi saya sangat gembira dapat memberikan sedikit kebanggaan kepada rakyat Turki,” kata Montella.
Belanda mempunyai kelebihan dari segi rekod pertemuan selepas membelasah Turkiye 6-1 dalam pertemuan terakhir sewaktu kelayakan Piala Dunia pada September 2021 yang menyaksikan Memphis Depay meledak hatrik. – AGENSI