DUSSELDORF – Pengendali England, Gareth Southgate dijangka melakukan perubahan secara radikal untuk menghadapi Switzerland di pentas suku akhir Euro 2024 tengah malam ini.
Selain sedang mempertimbangkan untuk mengandingkan Phil Foden dan Jude Bellingham di posisi nombor 10, Southgate juga berkemungkinan besar bakal menerapkan taktikal tiga pemain pertahanan dalam kesebelasan utamanya.
Walaupun pengendali itu langsung tidak menerapkan tiga pertahanan sejak kekalahan kepada Itali pada final edisi lalu, namun Southgate merasakan pendekatan itu mungkin menjadi keputusan tepat dalam penampilan kali ini.
Jangkaan untuk menggandingkan Foden dan Bellingham sebagai pemain di belakang penyerang utama, Harry Kane bukan lagi rahsia kerana ia sudah pun dipraktikkan mereka semasa latihan ketika ini.
Bagaimanapun, persoalan kini lebih menjurus kepada sejauh mana perubahan itu mampu membuahkan hasil memandangkan Foden sering bermain di sebelah kiri dan Bellingham di bahagian kanan.
Selepas ketiadaan Marc Guehi ekoran penggantungan, Ezri Konsa, John Stones dan Kyle Walker dijangka menjadi pertaruhan The Three Lions bagi mengisi tiga pemain pertahanan yang mungkin diguna pakai oleh Southgate.
“Kami bekerja dengan sistem dan gabungan berbeza. Seperti saya katakan sebelum ini, pasukan ini bertambah baik khususnya membabitkan cara permainan kami.
“Kami sudah pun bekerja keras untuk berada pada tahap terbaik. Kami ada satu lagi sesi latihan sebelum perlawanan dan saya harap kami dapat teruskan aksi baik ini,” kata Stone.
Bagaimanapun, kerisauan sekarang lebih menjurus tentang tahap kecergasn Stones memandangkan bintang Manchester City itu masih lagi berbalut di bahagian kakinya.
“Semuanya baik-baik saja. Balutan itu kelihatan agak teruk berbanding apa yang saya sudah lakukan,” tambah Stones. – AGENSI