fbpx

Euro 2024: Bintang Liverpool ‘senjata’ Belanda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAKPO menjadi taruhan terbaik Belanda untuk menyingkirkan Turkiye dalam pertemuan suku akhir Euro 2024 awal pagi esok. - AFP

MUNICH – Penyerang Belanda, Cody Gakpo kini muncul salah seorang pemain cemerlang dalam Euro 2024 dan mendahului perlumbaan untuk memenangi anugerah Kasut Emas.

Gakpo kini bersama Jamal Musiala (Jerman), Ivan Schranz (Slovakia) dan Georges Mikautadze (Georgia) di puncak carta penjaring Euro 2024 selepas menjaringkan gol ketiganya ketika mencatat kemenangan 3-0 ke atas Romania pada pusingan 16 terbaik sebelum ini.

Penyerang Liverpool itu mempunyai satu lagi gol yang dibatalkan kerana ofsaid oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) ketika Belanda melepaskan beberapa peluang dalam pertemuan itu.

Bagaimanapun, pemain itu memerlukan rakan sepasukannya untuk tampil lebih baik jika Belanda ingin melangkah lebih jauh dalam kejohanan tersebut.

Ketua jurulatih Belanda, Ronald Koeman yang pernah meraih kejayaan bersama The Oranje sebagai pemain dengan memenangi Euro 1988 di Jerman, kini memegang peranan penting dalam menentukan strategi serangan pasukannya menjelang suku akhir bertemu Turkiye awal pagi esok.

“Pertama, posisinya adalah di sebelah kiri kerana dia sangat berbahaya apabila berhadapan satu lawan satu dengan bek kanan. Dia bermain pada tahap yang hebat dalam kejohanan ini,” kata Koeman.

Dalam kemenangan 3-0 ke atas Romania pada pusingan 16, Gakpo bertukar peranan dengan Memphis Depay, mengambil alih tugas sebagai penyerang tengah yang menyaksikan Koeman mengakui bahawa penyerang tersebut kelihatan sedikit penat ketika itu.

“Dia mungkin pemain yang paling penting setakat ini dan saya berharap yang lain dapat mencapai tahap itu. Gakpo boleh bermain sebagai penyerang, tetapi dia telah menunjukkan bahawa dia paling berbahaya dari sebelah kiri,” tambahnya.

Euro 2008 merupakan kali terakhir Belanda mara ke suku akhir dan kini berpeluang cerah untuk melangkah ke peringkat separuh akhir seperti dilakukan sewaktu edisi 2000 dan 2004.

Pemenang antara Belanda dan Turkiye akan bertemu England atau Switzerland yang akan berentap dalam satu lagi aksi suku akhir, untuk perlawanan di separuh akhir nanti. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI