fbpx

Era perubahan Britain bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEIR Starmer (depan) menyampaikan ucapan kemenangan di London, semalam. - AFP

LONDON – Sir Keir Starmer akan menjadi Perdana Menteri yang baharu selepas parti pembangkang pimpinannya, Parti Buruh menang besar dalam pilihan raya umum Britain semalam sekali gus menamatkan pemerintahan kerajaan Konservatif selama 14 tahun.

“Parti Buruh memenangi pilihan raya umum kali ini. Saya telah menelefon Sir Keir Starmer untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan beliau,” kata Perdana Menteri, Rishi Sunak yang tampil muram selepas beliau dipilih semula menjadi wakil rakyat di kawasan Parlimen utara England.

“Hari ini (semalam), kuasa akan bertukar tangan dengan cara aman dan teratur berserta perasaan muhibah dalam kalangan semua pihak,” tambah pemimpin Parti Konservatif itu.

Menurut Sunak, beliau akan memikul tanggungjawab ekoran kekalahan partinya sambil menyifatkan keputusan pilihan raya umum Britain kali ini sebagai ‘menyedihkan’.

Dalam pada itu, pada perhimpunan bagi meraikan kejayaan Parti Buruh bertempat di pusat bandar London, Starmer, 61, memberitahu penyokongnya bahawa era perubahan kini bermula.

Beliau turut berjanji bahawa satu dekad pembaharuan nasional akan berlaku dan akan mengutamakan negara Britain terlebih dahulu, manakala kepentingan parti pula berada di tempat kedua.

Namun, kata Starmer, perubahan tidak akan berlaku dalam sekelip mata walaupun Parti Buruh merampas sebahagian besar kerusi milik Konservatif di seluruh Britain.

Kerusi Parlimen yang dirampas itu termasuk daripada sembilan anggota Kabinet Sunak serta kerusi yang menjadi milik bekas Perdana Menteri Britain, Liz Truss.

Truss yang menjadi Perdana Menteri paling singkat iaitu selama 49 hari dua tahun lalu, telah menjadi liabiliti kepada kerajaan sekali gus menutup peluang Parti Konservatif dalam pilihan raya umum kelmarin.

Ketika memegang jawatan itu, beliau melaksanakan pemotongan cukai yang mengejutkan pasaran, menyebabkan mata wang pound sterling merudum.

Truss menghadapi kempen untuk menggulingkannya terutama di kawasan luar bandar sebelum kalah dengan hanya 630 undi.

Pada pilihan raya kelmarin, Parti Buruh memenangi lebih daripada 326 kerusi yang diperlukan untuk mendapatkan majoriti di Parlimen.

Parlimen Britain mempunyai sebanyak 650 kerusi.

Selepas pusat-pusat mengundi ditutup pukul 10.00 malam(waktu tempatan) kelmarin, tinjauan pendapat untuk badan-badan penyiaran Britain membayangkan Parti Buruh akan memenangi 410 kerusi Dewan Rakyat dengan Parti Konservatif dijangka hanya mengaut 131 kerusi.

Pembangkang lebih kecil dan berhaluan tengah, Parti Liberal Demokrat akan mendapat 61 kerusi, namun parti reformasi anti-imigresen pimpinan Nigel Farage pula boleh mendapat sehingga 13 kerusi.

Sementara itu, parti Liberal Demokrat berjaya menewaskan Parti Kebangsaan Scotland sebagai parti ketiga terbesar di Britain.

Akhbar-akhbar Britain semuanya tertumpu kepada kembalinya Parti Buruh yang akan berkuasa buat kali pertama sejak Gordon Brown ditewaskan oleh David Cameron pada pilihan raya umum 2010.

“Keir We Go (Keir Kami Mara),” demikian tajuk utama akhbar Daily Mirror yang menyokong Parti Buruh.

“Britain nampak merah,” kata tajuk The Sun, akhbar tabloid milik bilionair berpengaruh, Rupert Murdoch itu yang beralih arah menyokong Parti Buruh buat kali pertama sejak 2005. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI