PETALING JAYA – Bank Negara (BNM) akan melaksanakan pembayaran bersama untuk produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) ke atas syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) bermula 1 September ini.
BNM dalam satu kenyataan berkata, pengambilan produk MHIT berserta ciri-ciri pembayaran bersama yang lebih meluas secara beransur-ansur bertujuan untuk membantu membendung inflasi kos perubatan di Malaysia.
“Berkuat kuasa tempoh itu, ITO dikehendaki menawarkan pilihan kepada pengguna untuk membeli produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama.
“Pengguna yang telah membeli produk MHIT tanpa ciri-ciri pembayaran bersama boleh mengekalkan produk MHIT sedia ada mereka.
“ITO juga boleh terus menawarkan produk MHIT tanpa ciri-ciri pembayaran bersama kepada pengguna baharu,” kata kenyataan itu hari ini.
Jelasnya, dengan adanya produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama, pengguna dapat memilih produk MHIT pada kos yang lebin rendah berdasarkan kemampuan kewangan dan keperluan mereka.
Produk MHIT dengan cir-ciri pembayaran bersama bukanlah sesuatu yang baharu dalam pasaran Malaysia.
Katanya, berdasarkan pemerhatian semasa, tahap premium/sumbangan untuk produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama didapati lebih rendah sebanyak 19 peratus hingga 68 peratus berbanding dengan produk yang serupa tetapi tidak mempunyal ciri-ciri tersebut.
“ITO juga dikehendaki menawarkan pelbagai tahap pembayaran bersama yang memenuhi keperluan kewangan dan situasi pengguna yang berbeza-beza.
“Pembayaran bersama juga tertakluk pada had maksimum yang ditetapkan oleh ITO bagi menghadkan jumlah perbelanjaan yang ditanggung oleh pemilik polisi/peserta takaful,” katanya.
Tambah BNM, bagi meningkatkan lagi tahap mampu milik MHIT serta melindungi kepentingan pengguna, Dokumen Dasar Perniagaan MHIT juga menetapkan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh ITO.
Antaranya, pembayaran bersama ini tidak akan terpakai dalam beberapa keadaan seperti rawatan kecemasan termasuk untuk kes kemalangan.
“Di samping itu, ia juga tidak terpakai bagi rawatan pesakit luar untuk rawatan susulan penyakit kritikal seperti kanser atau dialisis buah pinggang dan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat memberitahu, BNM mewajibkan ITO yang menawarkan produk MHIT baharu untuk memperkenalkan ciri-ciri pembayaran bersama dalam produk itu bermula suku ketiga tahun ini.
Langkah tersebut diambil untuk menangani kenaikan premium insurans atau sumbangan takaful bagi produk MHIT secara mendadak.- KOSMO! ONLINE