NEW DELHI – Seorang lelaki nekad menggigit seekor ular sehingga mati selepas dia diserang oleh reptilia tersebut di negeri Bihar, India, lapor laman berita MSNews hari ini.
Santosh Lohar, 35, yang bekerja sebagai buruh pada mulanya dipatuk oleh haiwan tersebut.
Bagaimanapun, dia yang bekerja dengan sebuah projek kereta api di hutan Rajauli, menggigit semula reptilia tersebut sebanyak dua kali sehingga ia mati.
Menurut akhbar Times of India, ketika bersiap sedia untuk tidur, ular itu mematuk Santosh dalam kejadian pada Selasa lalu.
Berikutan serangan itu, Santosh yang cedera bertindak balas serta-merta dengan menangkap ular tersebut sebelum menggigitnya.
Lelaki tersebut kemudian dikejarkan ke sebuah hospital, di mana dia menerima rawatan dan dibenarkan keluar selepas bermalam di pusat perubatan itu.
Namun, ular itu tidak begitu bernasib baik kerana ia mati.
Setakat ini, tidak diketahui jenis ular yang digigit Santosh, namun ia dipercayai bukan jenis yang berbahaya. – AGENSI