MANJUNG – Kegagalan mengemukakan senarai sebut harga sebelum melakukan pembaikan menyebabkan sebuah bengkel baik pilih kenderaan di Ayer Tawar di sini dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak kelmarin.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan kes itu adalah hasil aduan orang awam yang tidak berpuas hati dengan caj dikenakan setelah kenderaan tersebut selesai dibaiki.
“Pengadu telah membuat laporan kepada pihak KPDN dan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN seterusnya telah melakukan siasatan berdasarkan laporan yang diterima oleh pengadu.
“Hasil siasatan yang dilakukan di bengkel terbabit mendapati pemiliknya gagal untuk mengemukakan maklumat berkenaan dengan perkhidmatan pembaikan kepada pengadu iaitu sebut harga sebelum melakukan apa-apa pembaikan ke atas kenderaan apabila diminta,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, satu tindakan kes telah diambil di bawah Perkara 6 Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) Pindaan 2002, Akta Perlindungan Pengguna 1999 iaitu gagal memberi suatu pernyataan bertulis kepada pengguna sebelum dan selepas perkhidmatan pembaikan dilakukan.
Ujarnya, jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan, pihak bersalah boleh denda tidak melebihi RM 100,000 dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya didenda tidak melebihi RM 200,000.
“Manakala jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya didenda tidak melebihi RM100,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE