HASRAT skuad memanah recurve negara untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia tidak kesampaian apabila sekadar meraih empat pingat perak.
Pada aksi final yang berlangsung di Stadium Universitas Negeri Malang (UNM) semalam, skuad recurve hanya berpuas hati dengan pingat perak menerusi acara individu lelaki serta berpasukan lelaki, wanita dan campuran.
Jurulatih skuad recurve negara, Faiz Mokhtar Lopi berkata, pengalaman menjadi faktor utama mengapa anak-anak buahnya gagal untuk membutirkan pingat emas pada keempat-empat acara akhir itu.
Bagaimanapun, pencapaian itu boleh dibanggakan memandangkan Malaysia membariskan 100 peratus pelajar universiti berbanding pasukan tuan rumah yang menyenaraikan beberapa bekas atlet kebangsaan.
“Memang benar bahawa pengalaman yang membezakan kita dengan pingat emas. Mereka (Indonesia) memiliki banyak pengalaman beraksi di pentas antarabangsa sedangkan kita hampir separuh daripada pasukan adalah penampilan pertama di AUG.
“Kita sudah cuba untuk melawan mereka kerana dari segi teknik memang kita tidak ada masalah. Walaupun mereka berpengalaman tetapi mereka agak terkesan dengan semangat melawan yang kita tunjukkan,” katanya.
Terdahulu, Malaysia cuba untuk melakar kejutan ke atas Indonesia dalam kesemua empat aksi final recurve berkenaan, namun terpaksa akur dengan kehebatan pasukan tuan rumah yang menyambar keempat-empat pingat emas.
“Sebenarnya kita sasarkan untuk mencuri sekurang-kurangnya satu pingat emas tetapi tidak berjaya. Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan pemanah-pemanah negara,” ujar Faiz.
Sebagai rekod, pada edisi dua tahun lalu di Ubon Ratchathani, Thailand, skuad recurve negara berjaya membawa pulang tiga pingat emas menerusi acara individu lelaki serta berpasukan wanita dan campuran. – KOSMO! ONLINE