KUANTAN – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan tuduhan pihak tidak bertanggungjawab yang menyatakan pelaburan bilion ringgit hanya sembang jalanan yang tidak dilaksanakan.
Beliau menegaskan pelaburan termasuk daripada syarikat besar seperti Google yang bernilai RM9.4 bilion sedang giat dilaksanakan.
“Saya terkesan kerana sekarang ini orang kata pelaburan sudah masuk tetapi tak ada perubahan bilion-bilion, tidak ada apa-apa, sembang jalanan, yang sebenarnya Tengku Zafrul (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz) lebih tahu dan syarikat yang masuk Infineon, Google, Microsoft.
“Dia (Google) sudah beli tanah dah, dia umum beli tanah di Selangor dan sudah mula projek dan kita percepat kelulusan kerana pelaburan Google itu RM9.4 bilion, bukan umum tetapi sudah beli tanah, sudah pecah tanah dan buat projek,”katanya pada Program Madani Rakyat Zon Timur 2024 di Dataran Sayangi Kuantan di sini hari ini.
Menurut Anwar pelbagai pelaburan luar diterima masuk ke negara ini termasuk di Selangor, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Pahang yang akan memberikan impak positif kepada negara.
Katanya, berdasarkan rekod, pelabur yang sudah datang ke negara ini pada suku pertama tahun ini adalah tinggi manakala pada tahun lalu pelaburan domestik adalah tertinggi dalam sejarah
Dalam pada itu beliau berharap semua pihak lebih efisien dalam memastikan pelaburan terus masuk ke dalam negara dan dapat dilaksanakan secepat mungkin.
“Majlis Perbandaran, kerajaan negeri, kerajaan persekutuan kena efisien dan cepat tetapi kalau persekutuan negeri, perbandaran di mana-mana lembab, lembablah kemajuan,”katanya.
Sementara itu beliau berkata, program Madani Rakyat yang merekodkan pengunjung lebih 121,000 orang setakat pukul 12 tengah hari ini amat signifikan bagi memberikan ruang kepada rakyat melihat sendiri apa yang telah dilakukan kerajaan.
“Ia memberi ruang kepada rakyat tengok sendiri apa yang dilaksanakan, masing-masing jabatan dan kementerian kalau tidak orang cakap tetapi tidak ada laksanakan apa apa, saya dengar ramai cakap Madani ini cakap tetapi tak ada-apa, jadi biar tengok sendiri,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE