PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni dan memberi sumbangan kepada keluarga Henry Albert di Sentul dalam siri Ziarah Madani baru-baru ini.
Menurut Anwar, anak kepada Henry Albert iaitu Theshvin Henry menghidap penyakit asma dan resdung yang kronik sehingga memerlukannya untuk menjalani pembedahan dengan segera.
“Sumbangan ini diberikan untuk meringankan kos pembedahan dan rawatan susulan.
“Mendoakan agar adik Theshvin selamat menjalani pembedahan dan segera pulih, sekali gus dapat kembali aktif dan menjalani kehidupan harian seperti biasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik beliau, Ahmad Farhan Fauzi. – KOSMO! ONLINE