SUNGAI PETANI – Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku terhadap seorang lelaki yang hanya mengalami kecederaan ringan walaupun keretanya remuk selepas terperosok di bawah treler akibat kemalangan di Kilometer 88.5 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala utara, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun yang memandu Perodua Axia cedera pada tangan kiri dan dihantar mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.
Saksi kejadian, Kapten Bersekutu (PA) yang juga Timbalan Komandan Pasukan Tindak Balas Cepat Madad, Mohd Ridzuan Osman berkata, ketika kejadian dia berada pada jarak enam buah kereta di belakang kereta Perodua Axia tersebut.
“Saya lihat sebuah Perodua Alza memotong treler itu di sebelah kiri sebelum terbabas dan merempuh bahagian kepala kenderaan berat berkenaan. Keadaan itu menyebabkan treler tanpa muatan itu terbabas melintang ke kanan laluan sebelum kereta Perodua Axia di lorong kanan merempuh dan terperosok di bawah treler
“Perodua Alza itu terbabas jatuh ke dalam parit di bahu jalan dan pemandunya juga mengalami kecederaan ringan. Saya dan beberapa rakan segera memberi bantuan mengeluarkan mangsa selain memberikan rawatan awal,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE