PASIR MAS – Sebanyak 98.7 peratus graduan yang menyertai program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diterima bekerja selepas menamatkan pengajian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peratusan itu membuktikan kursus yang diperkenalkan oleh agensi di bawah KKDW menerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Felcra menjurus kepada permintaan pekerjaan di pasaran.
Menurutnya, data tersebut juga mengatasi kebolehpasaran graduan TVET secara keseluruhan dengan 94.5 peratus.
“Dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak begitu cemerlang, pelajar yang mengikuti TVET boleh menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 1 dan tahap 2 yang bertaraf sijil membolehkan pelajar meneruskan pengajian ke peringkat diploma. Bagi tahap 3 hingga 5 SKM sebenarnya sudah bertaraf diploma,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Sukan Anak Muda Madani 1.0 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ibrahim 1, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelajar yang merupakan lulusan TVET boleh menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda selepas menerima tawaran dari lima buah univeristi tempatan.
Menurutnya, universiti terlibat ialah Universiti Kuala Lumpur (UNiKL), Universiti Teknikal Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Univesiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Katanya, melalui perubahan itu, graduan TVET yang cemerlang di peringkat diploma boleh menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda tanpa melihat kepada keputusan SPM.
“KKDW telah membuka permohonan secara dalam talian kepada mereka yang berminat dalam bidang tersebut menerusi UP_TVET dengan menawarkan 10 pilihan bidang pengajian.
“Peluang itu tidak boleh dilepaskan kerana banyak tempat disediakan kepada pelajar lepasan SPM untuk menyambung pelajaran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE