PETALING JAYA – Satu daripada dua orang dewasa di Malaysia mengamalkan hidup sedentari.
Gaya hidup sedentari bermaksud gaya hidup yang tidak aktif dan tidak melibatkan banyak pergerakan fizikal.
Menerusi perkongsian KKM Portal MyHealth di aplikasi X, hasil dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati orang dewasa di Malaysia suka menghabiskan masa lebih dua jam sehari dengan aktiviti duduk, baring atau bersandar.
“Sehubungan itu, rakyat Malaysia berhadapan dengan tiga penyakit utama iaitu kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi.
“Orang dewasa di Malaysia juga berhadapan dengan satu lagi faktor risiko iaitu obesiti disebabkan oleh gaya sedentari,” katanya.
Dalam pada itu, menurut NHMS 2023 lebih daripada setengah juta orang atau 2.5 peratus orang dewasa di Malaysia menghidap empat penyakit tidak berjangkit iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti.
“84 peratus orang dewasa tidak aktif dalam aktiviti sukan, kecergasan dan riadah.
“Mereka juga tidak berjalan atau berbasikal untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain,” katanya.- KOSMO! ONLINE