fbpx

[VIDEO] Setiap hari, kami tak henti-henti cari Hafiz Fauzan – Rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. IMAN (dua dari kanan) dan Mohd Hafiy (dua dari kiri) serta rakannya tidak dapat menahan sebak ketika ditemui selepas pengkebumian Allahyarham Hafiz Fauzan di Tanah Perkuburan Islam Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat hari ini.

BATU PAHAT – Rakan Hafiz Fauzan Abd. Halid yang dilaporkan hilang sebelum rangkanya ditemukan dalam kebun durian di sini menitiskan air mata ekoran kehilangan sahabat buat selamanya.

Rakan sekelasnya, Mohd. Iman Danial Mohd Fauzan, 17, berkata, selepas ini tiada lagi gurau senda dan gelak ketawa daripada Allahyarham Hafiz Fauzan.

“Kami cukup merinduinya. Kami tidak pernah berhenti mencarinya selepas dia dilaporkan hilang pada hujung Mei lalu.

“Hafiz seorang yang sangat aktif bersukan dan menyertai pertandingan bola sepak untuk mewakili sekolah dan negeri.

“Selepas Hafiz Fauzan dilaporkan hilang, saya dan rakan-rakan cuba mencarinya hampir setiap hari. Kami keluar pagi, pulang petang adakalanya sampai malam, namun tidak menemui Hafiz Fauzan,” katanya.

Mohd. Iman memberitahu, pemergian sahabat baiknya itu amat dirasai kerana Allahyarham Hafiz Fauzan sangat aktif dan menjadi antara tonggak utama pasukan bola sepak dan kumpulan nasyid Sekolah Menengah Agama (SMA) Parit Raja.

Mohd. Iman dan rakan-rakan Allahyarham turut membantu urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Batu 7, Tongkang Pechah hari ini sebagai khidmat terakhir buat sahabat mereka.

Seorang lagi sahabat, Mohd Hafiy Ahmad Kamal, 17, memberitahu, dia dan Allahyarham berkawan baik sejak di sekolah rendah dan bersama-sama memasuki asrama SMA Parit Raja.

“Saya cukup rapat dengan Hafiz Fauzan, malah kami mempunyai minat yang sama dalam sukan bola sepak.

“Pemergiannya membuatkan saya cukup sebak. Namun saya dan rakan-rakan yang lain akan meneruskan perjuangan Allahyarham dalam sukan bola sepak dan nasyid,” katanya.

Hafiz Fauzan dilaporkan hilang pada 26 Mei lalu selepas keluar menonton bola sepak. Selepas hampir sebulan kehilangannya, rangka manusia berserta sebuah motosikal ditemukan orang awam di celah pokok dalam kebun durian di Jalan Yong Peng-Muar pada 25 Jun lalu.

Semalam, polis mengesahkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sepadan dengan ibu bapa Hafiz Fauzan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI