fbpx

Usahasama beri sokongan kepada pesakit kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DARI kiri: Hui Chuen, Dr. Boon Kheng dan Kim Fong sewaktu majlis menandatangani MoU antara CAHBR dengan BCWA baru-baru ini.

SEMPENA bulan pejuang kanser yang disambut setiap Jun, Hospital Columbia Asia Bukit Rimau (CAHBR), Shah Alam, Selangor telah menjalinkan kolaborasi strategik bersama Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA).

Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani baru-baru ini bertujuan menyediakan dan meningkatkan sokongan moral serta emosi kepada pesakit kanser di pusat kanser CAHBR.

Menerusinya, sebahagian sukarelawan yang juga pejuang kanser akan berhubung dengan pesakit, sekali gus berkongsi pengalaman mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah CAHBR, Lee Hui Chuen berkata, sejak pelancaran pusat kanser itu pada 2022, pihak hospital komited memajukan advokasi dan memberikan sokongan berterusan kepada pesakit.

“MoU ini merupakan tonggak penting dalam usaha berterusan kami untuk menyokong pesakit kanser.

“Kerjasama ini sejajar dengan misi kami untuk menyediakan penjagaan menyeluruh dan sokongan berterusan kepada mereka yang terkesan disebabkan kanser,” katanya.

Tambahnya, kerjasama yang terjalin akan berterusan untuk tempoh tiga tahun.

Dalam tempoh tersebut, sukarelawan akan hadir ke hospital menjalankan sesi sokongan mengikut keperluan pesakit.

“Sesi ini termasuklah perbualan santai sehingga kaunseling berstruktur yang direka untuk membantu pesakit mengatasi cabaran selepas didiagnos.

“Kebenaran daripada keluarga pesakit akan diperolehi terlebih dahulu untuk memastikan persekitaran dan sokongan yang selesa.

“Selain itu, sukarelawan dari Persatuan Kanser KanWork seperti Dr. Zahrina Azian Zohadie dan Norhaisnah Naian yang juga pejuang kanser akan hadir berkongsi pengalaman peribadi mereka, selain memberikan panduan kepada pesakit kanser di CAHBR,” katanya lagi.

Jelas Hui Chuen, sesi yang dikenali sebagai ‘Sembang Survivor’ itu akan diadakan setiap bulan di hospital.

Ia direka untuk menawarkan sokongan emosi dan rohani kepada pesakit, sekali gus memastikan mereka menerima penjagaan menyeluruh sepanjang rawatan dilakukan.

Turut hadir menandatangani MoU adalah Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Urusan Columbia Asia, Dr. Chan Boon Kheng dan Presiden BCWA, Lim Kim Foong.

Dalam ucapannya, Jamaliah menekankan impak global kanser serta langkah-langkah pencegahan dan pengesanan awal.

“Kanser merupakan punca kematian kedua tertinggi di seluruh dunia dengan anggaran 10 juta kematian direkodkan setiap tahun.

“Lebih kurang 70 peratus (%) kematian ini berlaku di negara berpendapatan rendah hingga sederhana.

“Mengikut rekod, lebih daripada 40% kematian berkaitan kanser boleh dicegah melalui perubahan gaya hidup dan pengesanan awal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI