fbpx

Tiga kawan karib jual ‘ganja’ di Telegram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Sukarno menunjukkan dadah jenis ganja yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kegiatan tiga kawan karib yang menjual dadah jenis ganja melalui Telegram terbongkar menerusi beberapa serbuan secara berasingan di sekitar ibu negara, Isnin lalu.

Sindiket tersebut berjaya ditumpaskan selepas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul menahan seorang lelaki di kawasan Publika, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, hasil siasatan terhadap lelaki berusia 20 tahun itu membawa kepada serbuan kedua di Jalan Raja Chulan pada hari yang sama.

“Serbuan berjaya menahan dua lagi lelaki tempatan berusia 24 tahun di kawasan lobi sebuah premis pejabat di Jalan Raja Chulan bersama karung guni berisi 50 paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja seberat 5.26 kilogram (kg).

“Penahanan itu membawa kepada serbuan ketiga di kawasan tempat meletak kenderaan di premis sama membabitkan dua kereta jenis Mercedes Benz dan Nissan Almera,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul, di sini hari ini.

Menurutnya, hasil maklumat daripada suspek yang ditahan membawa kepada serbuan keempat di premis pejabat bangunan sama yang menemukan lima kotak berisi ganja dianggarkan berjumlah 19.12 kg.

Ahmad Sukarno berkata, sindiket terbabit yang aktif menjual dadah sejak empat bulan lalu didapati melakukan aktiviti penjualan menerusi kumpulan Telegram sebelum membuat penghantaran menggunakan kurier.

“Semua dadah dijual dengan harga berlainan bermula dari RM250 hingga RM1,800. Pelanggan yang berminat akan membuat pesanan melalui kumpulan Telegram.

“Ketiga-tiga suspek saling mengenali sejak sekolah. Kita sedang mengenal pasti ahli sindiket lain yang terlibat,” ujarnya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan dadah berjumlah 24.3 kg dianggarkan bernilai RM85,980.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek pertama mendapati positif dadah jenis delta-9 tetrahydrocannabinol (THC).

“Kesemua suspek direman selama lima hari bermula Selasa lalu dan kita akan memohon sambung reman hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI