fbpx

Tiada dokumen khusus kait Hannah dengan gerakan pengkristianan – Musa Hassan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Musa

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, tiada dokumen khusus yang mengaitkan penglibatan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dalam gerakan Evangelisme untuk menyebarkan agama Kristian di negara ini.

Menurut Musa, sepanjang memegang jawatan sebagai pegawai tertinggi pasukan polis, beliau tidak pernah melihat dokumen yang membuktikan Menteri Belia dan Sukan itu terlibat dalam aktiviti penyebaran agama Kristian.

Bagaimanapun, beliau berpendirian bahawa pergerakan Evangelisme mampu memberikan kesan kepada keselamatan negara berdasarkan penelitiannya terhadap buku tulisan Hannah, video dan pendedahan beberapa pakar akademik.

Ketika ditanya peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Hannah, Musa berkata hasil penelitian terhadap buku, video dan pendedahan akademik, wujud kemungkinan plaintif terlibat dalam penyebaran agama Kristian di negara ini.

“Walaupun buku yang ditulis oleh plaintif telah diluluskan oleh kerajaan untuk dijual kepada umum, ia tidak sekali-kali bermakna ia tidak akan menimbulkan kegusaran dan kegelisahan khususnya penduduk majoriti Melayu,” ujarnya.

Bekas Ketua Polis Negara menyatakan demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pertama defendan dalam perbicaraan kes saman fitnah Hannah (plaintif) terhadapnya kerana didakwa membuat kenyataan berbaur fitnah semasa berucap dalam satu forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Januari 2020.

Berdasarkan tuntutan saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Yeoh mendakwa Musa memberi ucapan berbaur fitnah pada forum bertajuk “Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?”.

Dalam pernyataan saksi terpinda defendan, Musa, 73, menyatakan, ucapan itu disampaikan berdasarkan kepada siasatan risikan berkaitan isu-isu keselamatan negara melibatkan aktiviti komunisme.

Ujar defendan, beliau juga membangkitkan bahawa selain daripada bahaya indoktrinasi komunisme, terdapat juga ancaman kepada kedaulatan negara melalui Gerakan Kristianisasi dan Gerakan Evangelisme yang didalangi oleh parti politik dan individu berpengaruh di Malaysia.

Menurutnya, selaku bekas Ketua Polis Negara, beliau bertanggungjawab menasihatkan orang awam terhadap bahaya gerakan-gerakan tersebut selain berkongsi kebimbangan jika tidak dibendung, ia boleh mengancam keselamatan negara.

Musa selanjutnya menjelaskan, beliau turut merujuk buku `Becoming Hannah: A Personal Journey’ tulisan wakil rakyat itu selain bergantung kepada pendedahan akademik oleh Pengarah Institut Kajian Politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Kamarul Zaman Yusoff yang membuat kajian khusus berkaitan buku berkenaan.

“Dalam buku yang ditulis plaintif secara khusus mengandungi unsur-unsur penyebaran agama Kristian secara terbuka termasuklah ke atas orang beragama Islam, melalui pengakuan Hannah Yeoh sendiri.

“Saya juga merujuk kepada dapatan dan hasil kajian Institut Kajian Strategik Islam (IKSIM) yang diketuai oleh Profesor Datuk Nasser Disar berkaitan gerakan Evangelism di Malaysia yang turut berpotensi mengancam kedaulatan dan keselamatan negara,” ujar beliau dalam pernyataan itu.

Musa menyatakan, rujukan lain turut dilakukan terhadap beberapa video yang dimuatnaik di
laman media berkaitan gerakan Evangelisme selain laporan polis yang dibuat beberapa individu.

Sehubungan itu, beliau menafikan berniat jahat untuk menimbulkan kebencian, penghinaan dan ejekan terhadap Hannah secara peribadi mahupun politik melainkan keseluruhan ucapan tersebut semata-mata bersifat akademik dalam mengupas tajuk forum yang telah diberikan oleh
penganjur.

Dalam prosiding itu, peguam Datuk S. Ambiga turut hadir bagi pihak Hannah manakala Mohd. Khairul Azam Abd. Aziz dan Datuk Shaharuddin Ali
mewakili Musa.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi bersambung 25 Julai ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI