PETALING JAYA – Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam akan terus kekal mengetuai pentadbiran Liga Malaysia (Liga M) sekurang-kurangnya sehingga bulan depan.
Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu menjelaskan komitmennya kekal bersama MFL dan apa juga keputusan hanya akan dibuat selepas perbincangan dilakukan.
“Rakan media, ramai yang menghubungi saya (bertanyakan) tentang khabar angin mengenai kedudukan saya. Apa yang boleh saya katakan buat masa ini ialah saya komited kepada MFL dan perbincangan sedang berjalan berkaitan kontrak saya yang berakhir pada bulan Ogos.
“Sebarang perkembangan rasmi mengebai perkara ini akan diumumkan dalam masa terdekat dan buat masa ini saya masih komited dengan peranan saya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Ketika ini timbul spekulasi yang mendakwa Stuart bakal berundur daripada jawatan disandangnya sekarang terutama selepas wujud tekanan ekoran isu membabitkan Selangor FC yang menarik diri daripada aksi Piala Sumbangsih. – KOSMO ONLINE