fbpx

Shereen boleh ikut jejak ratu pecut Jamaica

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHEREEN boleh menjadikan Jackson sebagai inspirasi untuk berjaya dalam acara 100m dan 200m selepas ini.

SEBAIK sahaja terlepas tiket wildcard untuk beraksi pada Sukan Olimpik Paris 2024, atlet 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy sedia kembali ke Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan saingan musim ini.

Shereen yang merupakan bekas penuntut Winona State University itu berkata, dia juga akan memberikan lebih tumpuan dalam acara 100m dan 200m memandangkan sudah sah tidak akan beraksi di Olimpik Paris.

Peralihan acara itu bakal menyaksikan Shereen mengikut jejak ratu pecut Jamaica, Shericka Jackson yang pernah meraih gangsa 400m Olimpik Rio 2016 sebelum mencipta kejayaan sama memenangi tempat ketiga 100m di Olimpik Tokyo 2020.

Atlet berusia 26 tahun itu menjelaskan, dia perlu kembali ke AS kerana menganggap lebih mudah untuk menjalani latihan dan memperbaiki catatan masa memandangkan jurulatihnya berpangkalan di sana.

“Sebaik berakhir AUG (Sukan Universiti Asean) di Surabaya-Malang, Indonesia, saya mungkin tidak ada kejohanan-kejohanan lain tetapi mungkin nak ‘lari’ sedikit sebelum menutup saingan musim ini.

“Saya akan pulang ke AS untuk menghabiskan baki saingan musim ini, jadi akan bertanding di sana nanti. Saya perlukan aksi kompetitif bagi memastikan ada atlet-atlet lain terus mencabar saya,” katanya.

Terdahulu, Shereen yang memenangi pingat emas dalam acara 400m pada AUG 2024 kempunan untuk beraksi di pentas Olimpik selepas Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberikan tiket wildcard kepada jaguh 100m negara, Muhammad Azeem Fahmi.

Tambah atlet kelahiran Ipoh, Perak itu, dia tidak tahu akan menyertai kejohanan mana selepas ini memandangkan ia belum diputuskan oleh jurulatihnya, namun hasratnya untuk beraksi lebih banyak dalam acara 100m dan 200m.

“Saya tahu prestasi tahun ini ada banyak peningkatan tetapi tidak banyak peluang beraksi dalam 100m dan 200m. Saya terlalu berikan fokus kepada 400m, namun tidak berjaya lakukannya (ke Olimpik),” ujar Shereen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI