fbpx

Rosmah nafi beli barang kemas, beg tangan guna dana 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah.

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menafikan bahawa barangan mewah merangkumi barang kemas dan beg tangan dibeli menggunakan wang yang dikatakan diseleweng daripada syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebaliknya, Rosmah berkata dakwaan yang dibuat oleh 1MDB bahawa kesemua baranan itu dibeli menggunakan wang haram adalah satu tohmahan yang jahat dan hanya berniat untuk mengaibkannya.

“Plaintif-plaintif diletakkan atas beban pembuktian yang kuat bagi membuktikan setiap dan segala dakwaan-dakwaan mereka. Walaupun plaintif-plaintif mendakwa berlakunya penipuan oleh defendan pertama (Rosmah) namun tiada sebarang butiran penipuan diplidkan oleh plaintif-plaintif terhadap defendan pertama.

“Defendan pertama mengatakan bahawa dakwaan plaintif-plaintif di dalam tuntutan mereka adalah dakwaan-dakwaan kosong semata-mata yang mana tidak disokong dengan sebarang butiran fakta. Selanjutnya atau secara alternatif, dakwaan plaintif-plaintif di dalam perenggan-perenggan tersebut adalah dakwaan-dakwaan atau sangkaan-sangkaan jahat, palsu dan tidak berasas yang dibuat oleh plaintif-plaintif terhadap defendan pertama,” kata Rosmah.

Katanya, pernyataan tuntutan yang difailkan oleh kesemua plaintif bersifat spekulatif dan mereka juga gagal menunjukkan bahawa kesemua barangan mewah tersebut berada dalam milikannya.

Rosmah berkata demikian penyataan tuntutannya membabitkan kes saman oleh 1MDB dan anak-anak syarikatnya yang antara lainnya menuntut Rosmah itu membayar AS$346,010,489 atau satu jumlah yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

Antara barangan yang didakwa dibeli Rosmah menggunakan dana yang diseleweng ialah rantai leher bertatahkan berlian kuning (AS$1.77 juta), gelang tangan bertatahkan berlian termasuk berlian merah jambu (AS$1.2 juta) dan cincin bertatahkan berlian berbentuk rama-rama (AS$1.05 juta).

Selain itu ialah dua beg tangan jenama Hermes iaitu Hermes Rose Amethyste Croco Horse Shoe Special Order bernilai AS$130,000 dan Hermes White with Gray Croco Skin (RM2 juta). turut disenaraikan ialah jam tangan Cecil Purnell Ti bernilai RM1 juta.

Anak-anak syarikat 1MDB yang terlibat dalam saman itu ialah SRC International Sdn. Bhd., 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd, 1MDB Energy (Langat) Ltd, Global Diversified Investment Company Ltd (1MDB Global Investments Ltd) sebagai plaintif kedua hingga keenam.

Selain itu beberapa entiti pesisir luar turut disenaraikan sebagai plaintif ketujuh hingga 11 antaranya ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Hol­dings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Selain itu, Rosmah mendakwa tuntutan yang dibuat oleh 1MDB adalah terhenti selepas Mahkamah Tinggi di sini padampada 14 November 2022 memutuskan bahawa barangan yang disita daripada sebuah unit kediaman bernilai RM80 juta bukanlah hasil daripada penyelewengan dana 1MDB.

Pada tarikh tersebut, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara untuk melucut hak Harta itu membabitkan 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan yang disita dari sebuah unit di Pavilion Residence di sini, milik Obyu Holdings Sdn. Bhd. pada 17 Mei 2018.

Tambahnya, 1MDB tidak pernah memasukkan kehadiran dalam prosiding lucut harta berkenaan sebagai pihak ketiga malah tidak pernah menyatakan sebarang kepentingan dalam prosiding terbabit.

Rosmah juga menafikan bahawa Shabnam Naraindas Daswani (juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri) yang dinamakan sebagai defendan kedua, adalah ejen atau proksinya.

Laporan media sebelum ini menyatakan Shabnam merupakan seorang pereka fesyen daripada Singapura dan se­ring membantu Rosmah dalam mendapatkan barang kemas dan fesyen berkualiti tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI