fbpx

Ramai tak sedar bahaya asap rokok terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
asap rokok terpakai boleh memberi kesan kepada orang di sekeliling terutamanya wanita dan kanak-kanak. – Gambar hiasan

SEJAK berabad lamanya, kesan jangka panjang merokok telah direkodkan dalam pelbagai kajian.

Inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mempertimbangkan pelaksanaan Kawasan Merokok Ditetapkan (DSA) telah menimbulkan persoalan tentang kegiatan merokok dan cara seseorang bukan perokok boleh terjejas.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tiada tahap selamat bagi pendedahan kepada asap rokok terpakai (SHS).

Mereka yang terdedah boleh dijangkiti pelbagai penyakit berkaitan paru-paru termasuk masalah kardiovaskular dan pernafasan yang serius. Ia telah membunuh lebih 1.3 juta orang setiap tahun.

Tambahan pula, terdapat aspek merokok yang tidak ramai ketahui iaitu sedutan asap rokok terpakai ketiga (THS). Menurut Akademi Pediatrik Amerika Syarikat, THS merujuk kepada sisa pencemaran tembakau yang ditinggalkan pada permukaan objek dan persekitarannya selepas rokok dipadamkan, terutamanya dalam persekitaran seperti pejabat, rumah dan ruang tertutup.

Oleh itu, Pakar Perunding Pembedahan Kardiotoraks di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Anand Sachithanandan berkata, saringan kanser paru-paru bersasar akan dilakukan supaya sesuatu penyakit itu dapat dikesan lebih awal dan dirawat.

Ujarnya, kanser paru-paru bukan sekadar penyakit perokok lelaki, malah kebanyakan kes baharu kini turut melibatkan bukan perokok dan kebanyakannya wanita.

“Hal ini terjadi disebabkan ramai daripada mereka mungkin menjadi mangsa pendedahan SHS kronik.

“DSA yang dicadangkan adalah pendekatan pragmatik dan boleh dicapai jika dirancang serta dikuatkuasakan dengan ketat,” katanya.

DR. ANAND

Bagaimanapun, dia tetap bimbang bahawa SHS masih menjadi isu kesihatan awam berterusan yang memudaratkan terutamanya terhadap wanita dan kanak-kanak.

SHS atau perokok pasif adalah penyedutan asap tembakau secara tidak sengaja oleh individu selain daripada perokok aktif.

Pendedahan SHS berlaku apabila kita menyedut asap yang dihembus oleh perokok atau daripada hasil tembakau yang terbakar.

Merujuk kepada definisi THS, jika perkara ini diabaikan, kawasan persekitaran mungkin akan menjadi semakin bertoksik dari semasa ke semasa.

Mengulas lanjut, Dr. Anand yang juga merangkap Pengerusi Persatuan Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (LCNM) berpendapat, banyak kes kanser paru-paru dalam kalangan bukan perokok berpunca daripada pendedahan kepada SHS, THS atau pencemaran udara.

Terangnya, pendedahan jangka masa panjang terhadap asap rokok, baik daripada hembusan asap perokok atau asap tak bertapis menerusi rokok menyala, ia menjadi risiko utama bagi mereka yang secara genetiknya mempunyai sejarah menghidap kanser dalam keluarga.

“Selain daripada kanser paru-paru, SHS dan THS menyumbang kepada masalah pernafasan lain termasuk serangan asma, bronkitis dan Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik (COPD).

“Hal ini kerana asap rokok berupaya menjejaskan keanjalan tisu paru-paru dan menyebabkan radang pada laluan pernafasan.

“Dalam pada itu, merokok juga terbukti menjadi faktor risiko bagi penyakit kardiovaskular seperti Penyakit Arteri Koronari (CAD) dan angin ahmar, melemahkan sistem imun tubuh dan menyebabkan penuaan pramatang,” jelasnya.

Dr. Anand juga menyatakan bahawa kanak-kanak dan remaja lebih terdedah kepada bahaya risiko SHS dan THS memandangkan sistem imunisasi tubuh mereka masih belum kukuh sepenuhnya.

Pendedahan kepada SHS dan THS di rumah, tempat-tempat awam seperti kedai makan atau tempat kerja, berupaya meningkatkan kebarangkalian menghidap penyakit pernafasan dalam jangka masa panjang.

Menurut Tinjauan Tembakau Dewasa Global (GATS), 77.6 peratus rakyat Malaysia yang menjalani kaji selidik melaporkan mereka terdedah kepada asap rokok terpakai di tempat makan.

Walaupun saiz sampel hanya meliputi sejumlah 5,780 isi rumah, namun lebih separuh daripada mereka masih menghidu bau tidak menyenangkan semasa menjamu selera.

Satu kajian tentang penyakit berpunca daripada tembakau mendapati bahawa ruang tertutup seperti di dalam kenderaan, khususnya kereta mempunyai kepekatan SHS dan THS tinggi.

Dapatan itu membuktikan, biarpun tempoh menghisap rokok di dalam kereta itu singkat, namun ia mampu meninggalkan jejak pada permukaan yang akhirnya berisiko membahayakan kesihatan kanak-kanak.

Dr. Anand memaklumkan, ujian saringan yang terbaik untuk mengesan masalah pada paru-paru adalah melalui imbasan tomografi terkira dos rendah (LDCT) di seluruh Malaysia.

“Namun buat masa sekarang, sasaran individu untuk menjalani ujian saringan adalah dalam kalangan perokok dan bekas perokok untuk peringkat umur tertentu,” katanya.

Dia turut berkongsi bahawa pemeriksaan kanser paru-paru dalam kalangan bukan perokok masih menjadi cabaran yang perlu diatasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI