fbpx

Ramai penduduk Selangor mental, tertekan tinggal di bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Tekanan hidup di bandar dan keganasan domestik dikenal pasti antara punca masalah mental dalam kalangan penduduk di negeri ini.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, masalah mental itu juga dipengaruhi oleh aspek ekonomi, pekerjaan dan situasi keluarga selain merupakan permasalahan sama di kebanyakan negeri di negara ini.

“Kita akan melatih sukarelawan di bawah kerajaan negeri supaya mempunyai pengetahuan asas tentang kesihatan mental agar dapat membantu jika terdapat komuniti yang mengalaminya.

“Kita juga menerbitkan program bual bicara berhubung kesihatan mental oleh pakar psikitari selain menjalankan enam bengkel kesihatan kepada 320 pemimpin mahasiswa (bagi tujuan bantuan awal),” katanya pada sidang DUN Selangor, di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci peratusan bagi setiap punca ketika menjawab soalan tambahan Dr. Mohd. Zamri Mohd. Zainudin (PN- Sungai Burong) mengenai punca masalah mental dan langkah pencegahan awal bagi mengatasinya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama menjelaskan, kerajaan negeri memperkenalkan program Selangor Mental Sihat (SEHAT) sejak 2021 sebagai inisiatif dalam menangani masalah mental.

Ujarnya, setakat 30 Jun lalu didapati seramai 1,354 orang menerima manfaat dalam program talian SEHAT dan 281 pesakit menerima subsidi rawatan psikiatri melibatkan konsultasi dianggarkan RM200 bagi satu sesi.

“Selain itu, perbincangan kerjasama dibuat antara kerajaan negeri dan Persatuan Kaunselor Antarabangsa Malaysia bulan lalu dalam menempatkan sembilan kaunselor bagi setiap daerah di Selangor bagi perkhidmatan kaunseling,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI