SEBERANG PERAI – Jumlah peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap esok dijangka menurun tidak lebih daripada 70 peratus.
Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Sivamurugan Pandian berkata, situasi tersebut dilihat berdasarkan keputusan PRK Kuala Kubu Bharu pada Mei lalu apabila jumlah peratusan keluar mengundi menurun daripada 76 peratus kepada 61 peratus.
Menurutnya, PRK Sungai Bakap juga dijangka sengit apabila melibatkan pertembungan dua penjuru antara calon mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin dan Abidin Ismail dari Perikatan Nasional (PN).
“Kedua-dua calon yang bertanding itu ada pengaruh sendiri. Abang Abidin merupakan bekas pegawai khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff manala Cikgu Joohari berpengalaman sebagai pendidik.
“Dijangka berlaku keputusan pengundian yang sengit namun ia bergantung pada peratusan pengundi keluar mengundi esok.
“Melainkan sesuatu keajaiban berlaku pada malam ini (tempoh akhir kempen PRK dijalankan). Keajaiban dirujuk pada method (kaedah) luar biasa disebalik kempen untuk meraih sokongan undi,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya lagi, kemungkinan juga berlaku undi simpati susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri akibat keradangan dalam perut pada 24 Mei lalu. -KOSMO! ONLINE