SEBERANG PERAI – Seramai 39,151 pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dinasihatkan supaya tidak keluar mengundi pada saat akhir dan digalakkan mengikut masa yang ditetapkan, esok.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berkata, pengundi boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan.
Menurutnya, selain itu, pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan semakan nama serta membantu kelancaran proses pengundian.
“Seramai 552 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian ini nanti. Sebanyak sembilan pusat mengundi dan 65 saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian di mana seramai 39,151 orang bakal mengundi di PRK ini.
“Pengundi diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.
“Para majikan juga diingatkan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada hari mengundi sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.
Justeru tambahnya, SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam. – KOSMO! ONLINE