fbpx

PRK DUN Nenggiri: Calon UMNO mesti ada kriteria ‘WALI’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (dua dari kiri) semasa tiba di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli di Bukit Bunga, Jeli hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

JELI – UMNO akan memilih calon yang mempunyai kriteria ‘WALI’ untuk mewakili Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang pada 17 Ogos depan.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kriteria ‘WALI’ itu merujuk kepada Winnability (boleh menang), Acceptability (kebolehterimaan) dan Likeability (disenangi).

Menurutnya, sehubungan itu, beliau menghargai surat yang diutuskan oleh Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengenai senarai nama calon untuk pilihan raya itu.

“Saya akan membawa senarai nama yang dihantar UMNO Bahagian Gua Musang untuk biro politik diputuskan calon yang menepati kriteria tersebut.

“Calon UMNO yang akan bertanding di DUN Nenggiri mesti mempunyai kriteria ‘WALI’. Ia merujuk kepada Winnability (boleh menang), Acceptability (kebolehterimaan) dan Likeability (disenangi),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli di Bukit Bunga, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, UMNO akan memuktamad nama calon yang bertanding mewakili BN untuk PRK DUN Nenggiri pada minggu depan.

Tegas beliau, BN tidak mengambil mudah PRK Nenggiri sebaliknya akan terus mendekati kumpulan-kumpulan yang tidak keluar mengundi pada pilihan raya yang lalu.

“Saya yakin BN mampu merampas semula kerusi itu pada PRK nanti. Kita hanya tewas dengan majoriti 810 undi sahaja.

“Situasi ketika ini sudah berubah dan saya yakin BN boleh menang. DUN Nenggiri merupakan kerusi BN dan kita akan terus bekerja keras untuk menang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI