fbpx

Pilihan raya bersejarah Britain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RISHI Sunak (kanan) berkempen di Muzium Tentera Kebangsaan, London kelmarin. - AFP

LONDON – Berjuta-juta pengundi di seluruh Britain keluar mengundi semalam dalam pilihan raya umum bersejarah untuk memilih parti yang layak memerintah, lapor portal berita NBC News.

Parti pemerintah selama 14 tahun, Parti Konservatif, manakala pembangkang, Parti Buruh yang tidak memenangi pilihan raya umum sejak zaman Perdana Menteri Tony Blair pada 2005, menjadi tumpuan utama dalam pilihan raya kali ini.

Kali terakhir Britain mengadakan pilihan raya umum ialah pada 2019 apabila Parti Konservatif pimpinan Boris Johnson memperoleh kemenangan besar dengan membolot 365 kerusi Parlimen berbanding Parti Buruh yang hanya mendapat 202 kerusi.

Bagaimanapun, menjelang pilihan raya kali ini, semua tinjauan pendapat menyatakan bahawa Parti Buruh akan menang selesa.

Parti Konservatif pula secara terbuka mengaku kalah sebelum pengundian bermula.

Ramai pengundi berkata, me­reka memilih Parti Buruh untuk memerintah kerana tidak berpuas hati terhadap kerajaan Konservatif dalam pelbagai isu.

Bagi kebanyakan penduduk Britain, mereka sudah lama berasa negara itu tidak stabil dari segi ekonomi. Rakyat juga dikatakan bosan dengan pelbagai isu tidak selesai, daripada masalah yang membelenggu Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS) hinggalah kepada sungai dipenuhi kumbahan dan tambang kereta api mahal serta kerap tergendala.

Ramai pengundi menyalahkan Parti Konservatif terhadap isu tersebut dan bersedia untuk menghukum parti itu di peti undi.

Perdana Menteri daripada Parti Konservatif, Rishi Sunak, 44, telah memimpin Britain sejak 2022 dan sejarah akan tercipta jika anak kepada pendatang Hindu berketurunan India itu sekali lagi menjadi Perdana Menteri.

Beliau menjadi kaya selepas bertugas sebagai jurubank pelaburan namun isterinya, Akshata Murty yang merupakan pewaris syarikat gergasi teknologi India adalah punca mereka kini lebih kaya daripada pemerintah Britain, Raja Charles III.

Anggaran kekayaan mereka ialah sekitar £650 juta (RM3.90 bilion).

Semasa pandemik Covid-19, Sunak berkhidmat sebagai Menteri Kewangan di bawah pimpinan Johnson sekali gus ahli politik antara paling popular di negara itu, hasil rancangannya membayar gaji jutaan pekerja semasa Britain dikenakan ‘lock down’ bagi memerangi koronavirus.

Sunak menjadi pemimpin tanpa mendapat undi daripada pengundi selepas Perdana Menteri wanita ketika itu, Liz Truss meletakkan jawatan.

Truss menjadi Perdana Menteri selepas Johnson turut meletakkan jawatan.

Sejak penggantian Perdana Menteri itu, Parti Konservatif telah merosot ke rekod terendah selepas beberapa siri kesilapan kempennya.

Menghadapi kekalahan yang hampir pasti, Sunak memujuk anggota-anggota Parti Konservatif untuk mengundi menghalang kemaraan Parti Buruh yang diramalkan akan memperoleh majoriti besar di Dewan Rakyat.

Sungguh mengejutkan jika Sunak tidak digantikan oleh pemimpin pembangkang, Sir Keir Starmer, 61.

Starmer berasal dari latar belakang kolar biru tetapi akan menjadi Perdana Menteri pertama sejak tahun 1950-an yang sudah memiliki gelaran Sir jika partinya menang besar dalam pilihan raya kali ini.

Starmer akan menjadi tokoh keempat sejak Perang Dunia Kedua jika berjaya mengetuai Buruh mengalahkan Konservatif dalam pilihan raya umum.

Selain daripa­da Sunak dan Starmer, seorang ahli politik populis yang mengetuai Parti Pembaharuan United Kingdom (UK), Nigel Farage turut menjadi tumpuan kali ini.

Farage adalah sekutu Donald Trump yang akan i bertanding dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat untuk menjadi Presiden buat kali kedua. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI