fbpx

Piala FA: JDT menang bergaya ke atas Malaysian University, agregat 13-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUAN MUNIZ (tengah) mencetak nama selaku penjaring gol pertama JDT pada perlawanan Suku Akhir Kedua Piala FA menentang Malaysian University menyaksikan Harimau Selatan menang bergaya 8-0 (agregat 13-0) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

ISKANDAR PUTERI – Pasukan gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk mengulangi kejayaan menjinakkan Malaysian University apabila merekodkan kemenangan 8-0 dalam perlawanan Suku Akhir Kedua Piala FA 2024-2025 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

Keputusan itu menyaksikan JDT menewaskan pasukan amatur berkenaan dengan keputusan penuh agregat 13-0 selepas mencatatkan kemenangan 5-0 dalam perlawanan suku akhir pertama sebelum ini.

Pasukan tuan rumah bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga minit ke-20 untuk mendapatkan jaringan pembukaan menerusi percubaan luar kotak penalti Juan Muniz Gallego yang berjaya mengelirukan penjaga gol pelawat, Syed Muhammad Irfan Syafiq Syed Mohd. Kamil.

Gol kedua JDT diperoleh menerusi sepakan penalti pada minit ke-26 yang disempurnakan Heberty Fernandes apabila tuan rumah dianugerahkan kelebihan itu selepas Francisco De Oliveira dikasari Muhammad Nashran Elias.

Momentum jaringan skuad Harimau Selatan diteruskan pada minit ke-29 apabila Heberty sekali lagi mencetak nama selaku penjaring selepas menyudahkan hantaran Francisco De Oliveira.

JDT terus menggegar gawang pasukan pelawat yang dibarisi enam pemain berusia bawah 23 tahun itu apabila Muhamad Feroz Baharudin menyempurnakan sepakan penjuru Arif Aiman pada minit ke-34, menjadikan kedudukan 4-0 sehingga tamat separuh masa pertama perlawanan.

Harimau Selatan meneruskan rentak jaringan apabila Francisco De Oliveira berjaya menewaskan penjaga gol menerusi percent jarak dekat dari dalam kotak penalti pada minit ke-60.

Malaysian University kemudian terpaksa menukar penjaga gol utama, Syed Muhammad Irfan Syafiq apabila dia berdepan kecederaan akibat pertembungan dengan Bergson Da Silva yang baharu diturunkan pada separuh kedua perlawanan.

JDT meneruskan pesta jaringan menerusi percubaan cantik Romel Ramires pada minit ke-72 menewaskan penjaga gol pelawat, hasil bola hantaran Arif Aiman.

Jaringan ketujuh tuan rumah terhasil sekali lagi menerusi hantaran Arif Aiman yang berjaya disempurnakan Bergsen pada minit ke-78.

Malam gemilang JDT ditutup menerusi jaringan Romel Ramires pada masa tambahan menjadikan keputusan 8-0 dalam perlawanan itu sekaligus menempah tiket ke separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 20 dan 21 Julai ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI