fbpx

Penjawat awam terlibat rasuah bakal berdepan lima tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Penjawat awam yang terlibat rasuah berdepan lima hukuman sekiranya ditangkap, didakwa dan disabitkan kesalahan rasuah.

Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Tarmize Abdul Manaf berkata, penjawat awam terlibat rasuah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda sebanyak lima kali nilai suapan.

Beliau berkata, Akta SPRM 2009 mewajibkan pesalah rasuah menjalani hukuman penjara dan tempohnya tertakluk kepada nilai rasuah dan keseriusan kes.

“Denda dikira berdasarkan nilai suapan manakala denda minimum adalah RM10,000.

“Bagi rasuah yang tidak boleh dinilai dengan wang, seperti habuan seks, denda yang boleh dikenakan adalah RM10,000 atau lebih tinggi,” katanya.

Selain itu, Mohamad Tarmize berkata, individu terlibat rasuah boleh hilang kelayakan bayaran pencen penjawat awam.

“Bagi penjawat awam, hukuman penjara boleh menyebabkan mereka hilang bayaran pencen.

“Seksyen 21(1) Akta Pencen 1980 menyatakan jika mana-mana orang yang diberikan pencen atau faedah lain di bawah Akta ini dikenakan hukuman mati atau penjara selama sesuatu tempoh, maka pencen atau faedah lain hendaklah terhenti serta-merta,” katanya.

Dengan erti lain katanya, hukuman penjara walaupun sehari boleh menyebabkan mereka hilang pencen.

“Seterusnya, harta yang diperoleh daripada aktiviti rasuah akan disita dan dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

“Pelucuthakan harta dilakukan sama ada melalui Seksyen 40 dan 41 Akta SPRM 2009; atau Seksyen 55 dan 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA 2001),” ujarnya.

Jelasnya, pelucuthakan harta boleh dibuat dalam dua keadaan iaitu sama ada pelaku rasuah didakwa di mahkamah; atau pelaku rasuah tidak didakwa di mahkamah.

“Selain itu, identiti pesalah rasuah dipaparkan di portal rasmi SPRM melalui Pangkalan Data Pesalah Rasuah diperkenalkan pada 4 Mac 2010, bertujuan mewujudkan kesedaran
orang ramai mengenai kesan buruk rasuah.

“Pangkalan data ini memaparkan identiti individu yang telah disabitkan dengan kesalahan rasuah selama tiga tahun dari tarikh sabitan. Maklumat yang dipaparkan adalah nama penuh pesalah rasuah, gambar, nombor kes, pertuduhan, hukuman dan tarikh sabitan kesalahan (mahkamah),” katanya.

Beliau berkata, pengurusan syarikat juga boleh dipenjara dan didenda sekiranya gagal melaksanakan usaha pencegahan rasuah.

“Penguatkuasaan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 amat relevan kepada pegawai kanan kerajaan yang dilantik menjadi ahli lembaga pengarah di sesebuah syarikat berkaitan kerajaan.

“Merujuk kepada Seksyen 17A Akta SPRM 2009, adalah menjadi kesalahan apabila pihak pengurusan syarikat membiarkan pekerja mereka menawar atau memberi rasuah atas urusan perniagaan,” katanya.

Katanya, menjadi kesalahan juga sekiranya syarikat gagal melaksanakan usaha-usaha pencegahan rasuah dan peruntukan undang-undang ini menghukum syarikat serta mereka yang terlibat dalam pengurusan syarikat.

“Sekiranya bersalah, boleh didenda 10 kali nilai suapan (minimum RM1 juta); atau penjara tidak lebih 20 tahun; atau kedua-dua sekali,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI