fbpx

Orbit 10000 ubah landskap telekomunikasi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yane Alkushovski (kanan) pada majlis pelancaran perkhidmatan Orbit 10000 di Kuala Lumpur kelmarin.

KUALA LUMPUR – Malaysia menjadi negara sulung dan pilihan utama bagi Orient Telecoms Plc (Orient Telecoms), sebuah penyedia perkhidmatan rang­kaian terurus dan telekomunikasi serta penyelesaian teknologi glo­bal untuk melancarkan per­khidmatan terbaharunya, Orbit 10000.

Perkhidmatan premium itu adalah pertama seumpamanya dilancarkan bertujuan untuk memenuhi keperluan perniagaan yang berskala besar disokong oleh perkhidmatan internet ber­kelajuan tinggi, ketersambu­ngan yang mantap, boleh dipercayai dan selamat.

Naib Presiden Orient Telecoms, Yane Alkushovski berkata, perkhidmatan ini mula dipasarkan di Malaysia dan ia akan diperluaskan ke peringkat serantau dan global secara berperingkat selepas ini.

Enggan mengulas mengenai jumlah sasaran pelanggannya yang terdiri daripada perusahaan bersaiz mega, beliau optimis perkhidmatan berkenaan bakal memberi manfaat kepada pelanggan daripada aspek kelajuan dan keselamatan 10,000 Mbps melalui Teknologi Slipstream Conduit proprietari Orient Telecoms yang beroperasi pada infrastruktur Ethernet Kelas Pembawa aktif.

“Ini berbeza dengan penyedia perkhidmatan lain yang menawarkan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi tetapi keba­nyakannya beroperasi pada infrastruktur rangkaian optik pasif yang sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran perkhidmatan Orbit 10000 di sini kelmarin.

Alkushovski menjelaskan, antara kelebihan menarik per­khidmatan tersebut adalah ia turut disokong oleh polisi insu­rans Tahap-1 bernilai AS$10 juta (RM47,000) yang akan memberi ketenangan kepada perniagaan kerana operasi mereka dilin­du­ngi daripada ancaman luar.

“Pelancaran Orbit 10000 menandakan peristiwa penting dalam landskap telekomunikasi Malaysia.

“Ia mencerminkan dedikasi kami terhadap inovasi dan kecemerlangan dengan menyediakan peralatan yang diperlukan oleh perniagaan untuk berjaya.

“Apabila perniagaan semakin berkembang, Orient Telecoms kekal komited untuk menyokong perjalanan mereka dengan tek­nologi terkini dan kebolehpercayaan yang tidak berbelah bahagi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI