KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin mengingatkan Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar supaya mengenang jasa parti tersebut ke atas dirinya.
Mohd. Sharkar berkata, bagaimanapun beliau menghormati keputusan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu yang mengumumkan telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta semalam.
“Itu hak dia untuk masuk Bersatu dan kita tidak pernah melarang dan menyuruh sebab dalam Perlembagaan menyebut setiap orang boleh berpersatuan, maknanya boleh pilih mana sahaja platform atau mana-mana parti politik.
“Cuma kita harap Noh Omar tidak lupa jasa UMNO sehingga beliau bertanding enam penggal dan menjadi Menteri serta berada di kedudukan yang ada ini,” katanya ketika sidang akhbar di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
Selain itu Mohd. Sharkar berkata, bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu mungkin mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih untuk menyertai Bersatu.
“Tan Sri mungkin ada sebab. mungkin dia tidak dapat bertanding tetapi dia mempunyai hak untuk rasa hati dan hak dia hendak masuk mana-mana parti,” katanya.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan Noh mengumumkan telah menyertai Bersatu berikutan kecewa dengan nasib menimpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak berjaya mencabar Titah Adendum di mahkamah.
Beliau berkata, permohonan itu dibuat secara dalam talian tanpa diketahui sesiapa. – KOSMO! ONLINE