PUTRAJAYA – Datuk Seri Mohd. Hishamudin Md Yunus dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkuat kuasa 3 Julai lalu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, pelantikan tersebut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi tempoh tiga tahun.
“Pelantikan itu selaras dengan subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597],” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Hishamudin, 75, merupakan graduan undang-undang University of London dan pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia, Ketua Pendaftar Mahkamah Agung, Peguam Kanan Persekutuan dan Presiden Mahkamah Sesyen.
Dengan pengalaman dalam bidang undang-undang selama 45 tahun, beliau memperoleh pensijilan Timbang Tara Komersial Antarabangsa daripada Chartered Institute of Arbitrators, United Kingdom.
Sepanjang perkhidmatannya di Mahkamah Tinggi, beliau telah menulis lebih 750 penghakiman yang telah dilaporkan dalam jurnal undang-undang.
Mohd. Hishamudin juga pernah berkhidmat sebagai Penasihat Undang-undang kepada Kementerian Perusahaan Utama dan sebagai jurucakap mewakili negara-negara pengeluar getah di Rundingan Perjanjian Getah Asli di Switzerland.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Delegasi Institut Hak Asasi Manusia Persatuan Peguam Antarabangsa (IBAHRI) ke Afrika Selatan sebelum menjadi Penimbang tara di Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur.
Beliau sebelum ini merupakan ahli Suhakam selain bekas Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (Mycc) – KOSMO! ONLINE