PETALING JAYA – Jika mahu memanjakan diri dengan menikmati minum petang cara orang British, orang ramai dijemput berkunjung ke rangkaian sulung Gordon Ramsay Bar & Grill di Sunway Resort Hotel dekat sini.
Hidangan berkonsepkan The Afternoon Tea yang bermula pukul 3 petang setiap hari itumerupakan set lengkap yang menawarkan hidangan pelbagai jenis pastri, scone, snek dan teh premium pelbagai perisa.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Sunway Resort Hotel, melalui set The Afternoon Tea itu juga dihidangkan beberapa hidangan ikonik Gordon Ramsay yang bersaiz kecil seperti Beef Wellington, Boston Lobster Roll dan Sandwich klasik Salmon yang diawetkan dengan Beetroot, Creme Fraiche dan Avocado serta Coronation Chicken dengan Coriander cress.
“Bagi hidangan pemanis mulut, kami menyediakan Yuzu Mille-Feuille, Orange Blossom Mousse, Apple Crumble with Crème Diplomate, Tart Coklat Manjari dan Macaroon Raspberi.
“Lebih menarik, pelayan restoran akan menolak troli teh bersebelahan meja pengunjung dan dia akan mempamerkan pelbagai jenis teh untuk dirasai dan dicuba mereka. Ia terdiri daripada Teh Hitam Klasik, Teh Oolong, Teh Hijau dan Teh Tisane,” katanya.
Turut disediakan dalam troli berkenaan adalah pilihan lain untuk menambah rasa pada minuman teh seperti madu Maleleuca, Madu Diraja, Milky Madu Berkrim dan Madu Hutan serta juga pelbagai herba organic seperti Pudina, Rosemary, Lavender dan Tyme.
Set The Afternoon Tea ditawarkan pada harga serendah RM169 untuk dua orang dan RM299 untuk empat orang. -KOSMO! ONLINE