fbpx

‘Mereka hanya menurut arahan dan kita hormat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ustaz Don akur dengan keputusan Suria FM apabila program kendaliannya Don Give Up tidak lagi bersiaran bermula hari ini.

PETALING JAYA – Pendakwah terkenal, Ustaz Don akur dengan keputusan Suria FM apabila program kendaliannya, Don Give Up dalam slot Morning-Morning Suria tidak lagi bersiaran di stesen radio berkenaan bermula hari ini.

Don yang dihubungi menerusi pengurusnya, Anna berkata, kerja tetap berjalan seperti biasa walaupun berdepan berdepan dengan ujian.

“Kerja Ustaz Don tetap berjalan seperti biasa, alhamdulillah.

“Pihak Ustaz Don dengan Suria FM pun baik-baik sahaja. Mereka hanya menurut arahan dan kita hormat. Mereka tunggu keputusan JAIS, dan kita pun sama,” katanya ketika dihubungi HibGlam sebentar tadi.

Terdahulu, atas arahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ustaz Don Daniyal tidak lagi bersiaran di stesen radio Suria FM menerusi segmen Don Give Up dalam slot Morning-Morning Suria bermula hari ini.

Wakil pengurusan stesen terbabit berkata, tindakan tersebut diputuskan bagi mematuhi arahan JAIS sehingga keputusan rasmi dikeluarkan agensi terbabit.

“Buat masa ini, Ustaz Don Daniyal, penyampai jemputan bagi segmen Don Give Up, tidak bersiaran seperti biasa sehingga keputusan rasmi daripada JAIS.

“Kami di Suria FM sentiasa menghormati dan mematuhi setiap arahan pihak berkuasa selain akan memaklumkan sebarang perkembangan,” katanya.

Tindakan itu dibuat selepas JAIS mengeluarkan arahan pada 21 Jun lalu kepada semua agensi, masjid dan surau untuk menangguhkan serta tidak mengundang Don Daniyal untuk sebarang acara.

Dalam laporan media, Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama disampaikan pendakwah itu disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Sebelum ini, Don Daniyal Don Biyajid, 39, ‘direhatkan’ daripada bersiaran bagi program Salam Baitullah 2024 terbitan RTM pada 5 Jun lalu.

Perkara tersebut berkaitan isu pertikaian dalam media sosial mengenai kisah hidup Nabi Muhammad SAW yang dibincangkan dalam program itu

Keputusan juga dikongsikan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman menerusi hantaran ciapan di laman sosial X.

Don Daniyal mengendalikan Don Give Up bermula 1 Januari 2023 yang memerlukannya menjawab kemusykilan agama daripada pendengar radio berkenaan pada setiap Jumaat. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI