MALANG – Kontinjen negara mampu menarik nafas lega apabila sudah mencapai sasaran 35 pingat emas yang diletakkan pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia.
Emas yang dinanti-nantikan itu hadir menerusi atlet karate, H.S. Sureeya selepas dia muncul juara dalam acara kumite bawah 60 kilogram (-60kg) lelaki menewaskan atlet Thailand, Chalermporn Piwlaaiad.
Pada aksi final yang berlangsung di Pusat Konvensyen Universiti Islam Malang itu, Sureeya membuktikan dia layak untuk memenangi emas acara tersebut apabila mudah mengenepikan cabaran lawannya dengan keputusan 9-1.
Selain pingat emas kumite -60kg lelaki, lima lagi emas hari ini turut hadir menerusi kuartet 4×400 meter (m) lelaki dan wanita, Muhammad Syafiq Zuber (taekwondo), Muhammad Firdaus Mohd. Israj (pencak silat) serta Mohd. Rizzua Haizad Muhamad (110m berpagar).
Berbaki sehari sahaja lagi saingan esok, Malaysia pastinya memasang impian untuk menambah koleksi pingat emas sebelum temasya sukan universiti Asia Tenggara itu melabuhkan tirainya. – KOSMO! ONLINE