PETALING JAYA – Tidak mampu membayar tunggakan yuran, seorang ibu yang juga asnaf fakir miskin bertindak mahu memberhentikan anaknya dari sebuah sekolah di Puchong.
Bagaimanapun, niat ibu tersebut dapat ‘dibatalkan’ oleh guru besar sekolah tersebut yang prihatin serta memaklumkan perkara itu pada Lembaga Zakat Selangor (LZS)
LZS pada hantaran Facebook memaklumkan, guru besar tersebut memaklumkan ada seorang ibu bersama anaknya datang ke sekolah dengan tujuan untuk menghentikan persekolahan anaknya.
“Alangkah terkejutnya kami bila dengar alasannya, ‘sebab anak dia sudah lama tidak ke sekolah tanpa sebab’.
“Hasil semakan, keluarga tersebut merupakan asnaf fakir yang berdaftar di Zakat Selangor,” menurut hantaran itu hari ini.
LZS memberitahu, wanita itu juga telah menerima bantuan keperluan sekolah, bantuan kewangan dan bantuan sewa rumah.
“Pihak Zakat Selangor serta guru besar telah menziarahi penama yang tinggal di Puchong. Hasil ziarah itu, kami mendapati bahawa ibu kepada anak ini tidak mampu membayar tunggakan yuran di sekolah yang banyak.
“Hasil nasihat dan perbincangan bersama, pihak kami di Zakat Selangor akan membantu selesaikan tunggakan tersebut dan ibu kepada anak ini boleh teruskan semula sesi persekolahan anaknya insya-Allah,” ujarnya.
LZS juga turun padang menziarahi murid tersebut di sekolah pada semalam sejurus dimaklumkan oleh guru besar yang anak tersebut telah hadir ke sekolah.
“Jelas terpancar kegembiraan di muka anak ini apabila dapat hadir ke sekolah dan belajar semula bersama kawan-kawannya.
“Zakat Selangor mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengeluar zakat kerana membantu anak ini untuk bersekolah semula.
“Andalah hero asnaf. Tanpa anda anak-anak asnaf mungkin tidak ke sekolah,” katanya. – KOSMO! ONLINE