fbpx

Konsert Bruno Mars: Pentas dibina atas trek bukan rumput – Hannah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan padang SNBJ terkini yang dimuat naik Hannah di aplikasi X, 25 Mac lalu. - GAMBAR HIASAN

SEBERANG PERAI – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan keadaan rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak akan terjejas usai penganjuran konsert penyanyi antarabangsa Bruno Mars Live in Kuala Lumpur, 17 September ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihak kementerian sudahpun mengeluarkan moratorium untuk menghalang sebarang pemasangan struktur pentas membabitkan persediaan konsert di atas padang SNBJ.

“Untuk konsert di Stadium Nasonal Bukit Jalil, memang saya dah letak moratorium, tak boleh bina apa-apa struktur atas rumput.

“Kalau mereka (penganjur konsert) nak bina pentas, perlu dibuat atas trek bukan rumput.

“Moratorium kita sudah keluarkan jadi, semua konsert sekarang memang tak ada di atas padang lagi,” katanya di sini malam semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai kemungkinan keadaan padang SNBJ akan kembali terjejas seperti mana yang berlaku selepas berakhirnya konsert Coldplay tahun lepas.

April lalu, Hannah mengeluarkan moratorium jangka pendek untuk menghalang sebarang pemasangan struktur pentas membabitkan persediaan konsert di atas padang di SNBJ susulan post-mortem yang dilakukan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) terhadap gelanggang rasmi Harimau Malaya tersebut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Institut Sukan Negara (ISN) sedang melihat keperluan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha mensyaratkan prosedur keselamatan di semua tempat latihan terutama melibatkan sukan badminton.

Ini susulan insiden pemain badminton muda China, Zhang Zhi Jie yang meninggal dunia selepas rebah di gelanggang semasa Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, Ahad lalu.

“ISN sedang meneliti perkara tersebut untuk dibawa kepada perbincangan dengan pihak PBT. Kita syaratkan mereka (PBT) ada mesin EAD (defibrillator luaran automatik).

“Setakat ini, bukan semua PBT ada syarat tersebut. Walaupun ada syarat (dipenuhi), mereka kena ada pegawai terlatih di situ untuk menggunakannya jika berlaku sebarang kecemasan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI