MALANG – Kemarau pingat emas selama 16 tahun dalam acara kyorugi pada Sukan Universiti Asean (AUG) berakhir selepas jaguh taekwondo negara, Muhammad Syafiq Zuber muncul pemenang menerusi kategori bawah 87 kilogram (-87kg) lelaki.
Pada perlawanan akhir AUG 2024 yang berlangsung di Gedung Samantha Krida Universitas Brawijaya (UB) di sini sebentar tadi, atlet berusia 24 tahun itu memastikan emas menjadi miliknya selepas menang 2-0 ke atas atlet tuan rumah, Tubagus Maulana.
Syafiq yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 tahun lalu tidak berdepan banyak masalah apabila menguasai sepenuhnya pertarungan sebelum mencatat kemenangan dalam kedua-dua set perlawanan akhir itu.
“Alhamdulillah syukur kepada Allah, rezeki untuk hari ini dapat membantu pasukan mencapai sasaran dua emas yang diletakkan. Sebenarnya ada tekanan beraksi hari ini tetapi berbekalkan pengalaman, saya hanya buat yang terbaik dan mengikut arahan jurulatih.
“Sangat bangga dan beruntung kerana dapat tamatkan penantian selama 16 tahun (pingat emas) dalam kyorugi. Apa yang lebih penting, kami dapat capai sasaran diletakkan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, seorang lagi atlet negara, Fu Ceen Put Thai sekadar meraih pingat perak selepas tewas 1-2 kepada Mahamad Sarawit dari Thailand dalam kategori -58kg lelaki.
Dalam perkembangan lain, ratu karate negara, Shahmalarani Chandran terlepas peluang untuk mempertahankan pingat emas bawah 50 kilogram (-50kg) wanita yang dimenangi dua tahun lalu di Ubon Ratchathani, Thailand apabila sekadar meraih gangsa.
Dia yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 terpaksa berpuas hati dengan gangsa apabila gagal melangkah ke pentas final sebelum menewaskan rakan sepasukan, Yoshanaa Chelvam 8-0 pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat. – KOSMO! ONLINE