fbpx

Tiada lagi kuarantin individu positif Covid-19 bermula 15 Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Individu yang positif Covid-19 akan dirawat sama seperti jangkitan saluran pernafasan yang lain dan tidak lagi diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan berkata, peraturan baharu itu turut terpakai kepada pemakaian pelitup muka di mana individu disahkan positif Covid-19 hanya digalak memakai pelitup muka, meminimumkan interaksi sosial dan elakkan tempat sesak.

Katanya, perintah HSO dan pemakaian pelitup muka itu berkuatkuasa 15 Julai ini susulan jumlah kes kematian Covid-19 juga menunjukkan penurunan selain tiada varian baharu yang dikesan di Malaysia.

“Bagaimanapun, individu positif Covid-19 masih berpotensi menyebarkan jangkitan. Oleh itu, atas
tanggungjawab sosial, individu tersebut digalakkan untuk kekal berada di rumah atau tempat kediaman.

“Selain itu, elakkan berinteraksi rapat dengan orang lain dan sentiasa mengamalkan langkah-langkah kawalan dan pencegahan kesihatan awam sekiranya perlu keluar rumah atau tempat kediaman dan dapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya gejala berterusan atau bertambah teruk,” jelasnya.

Sementara itu katanya, walaupun negara akan memasuki peralihan fasa hidup bersama Covid-19,
KKM akan sentiasa memantau situasi terkini wabak itu di peringkat global dan Malaysia.

“KKM mempunyai kaedah pemantauan untuk menilai situasi Covid-19 sejak fasa awal pandemik yang dikenali sebagai Sistem Amaran Awal (Heightened Alert System – HAS) dan masih digunakan sehingga kini.

“Tiga indikator yang dipantau dalam HAS ialah kes baharu Covid-19, kes kematian Covid-19, dan kemasukan kes Covid-19 ke hospital,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI