STUTTGART – Jerman pastinya turun dengan misi untuk meneruskan langkah mereka memburu kejuaraan Euro 2024 di tempat sendiri apabila perlu berdepan Sepanyol pada aksi suku akhir di MHP Arena, Stuttgart tengah malam ini.
Selain enggan menghampakan harapan peminat, Jerman juga pastinya mahu menjadikan perlawanan ini peluang terbaik untuk mereka menamatkan aksi tanpa kemenangan menentang Sepanyol dalam kejohanan utama sejak 36 tahun lalu.
Kali terakhir Jerman memenangi perlawanan menentang Sepanyol di kejohanan utama adalah pada Euro edisi 1988 dengan meraih kemenangan 2-0 sebelum tewas tiga kali dan seri tiga kali pada saingan Euro, Piala Dunia dan Piala Negara-Negara Eropah.
Biarpun perlawanan kali ini dianggap anti klimaks, Jerman terdesak untuk mencari penamat lebih baik berbanding terkandas di suku akhir ketika mereka sedang memburu kejuaraan pertama selepas lebih sedekad.
Apa yang menjadi penentu kepada kemenangan Jerman pada aksi kali ini adalah mengenai kemampuan mereka untuk membentuk pertahanan yang ampuh menyekat ‘keghairahan’ jentera serangan Sepanyol.
“Kami tidak akan ‘bersembunyi’ pada perlawanan menentang Sepanyol. Kami perlu bermain secara berpasukan dari awal perlawanan untuk mengimbangi mereka. Kami juga memiliki kualiti yang hebat.
“Saya fikir mereka juga lebih menghormati kami walaupun tidak mengakuinya di khalayak umum,” kata ketua pasukan Jerman, Ilkay Gundogan.
Rekod sebelum ini menyaksikan Jerman tewas kepada Sepanyol pada aksi separuh akhir Piala Dunia 2010 dan mereka juga tewas pada aksi final Euro 2008 serta kekalahan paling memalukan ketika dibelasah 0-6 pada aksi Piala Negara-Negara Eropah empat tahun lalu.
Dalam pada itu, pemain sayap Die Mannschaft, Leroy Sane sedia memberikan aksi terbaik sekiranya diturunkan untuk mengimbangi kekuatan Sepanyol di bahagian tersebut yang memiliki pemain muda sensasi, Lamine Yamal dan Nico Williams.
“Cara Sepanyol bermain adalah mereka akan cuba memegang penguasaan bola sebelum melakukan serangan balas pantas. Mereka juga memiliki ‘senjata’ cukup hebat di bahagian sayap yang pantas.
“Apa yang berlaku pada perlawanan sebelum ini bertemu Sepanyol, kami tidak membuat perubahan walaupun sedar mengenai kelebihan mereka. Sasaran kami adalah untuk melangkah ke pusingan seterusnya dan kami sedia melakukan apa sahaja,” ujarnya. – AGENSI