fbpx

BFS peneraju penyedia makanan halal kepada 35 syarikat penerbangan antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemudahan besar BFS di Sepang disokong oleh lebih 500 pekerja yang menyediakan pelbagai menu untuk memenuhi keperluan syarikat penerbangan tempatan dan juga antarabangsa.

PETALING JAYA – Brahim’s Food Services Sdn. Bhd. (BFS) kini menjadi peneraju utama dalam perkhidmatan penye­diaan makanan halal kepada 35 syarikat penerbangan antarabangsa termasuk tujuh syarikat penerbangan terkemuka dunia.

Ini termasuk Qatar Airways, Emirates, ANA All Nippon Airways, Cathay Pacific Airways, Japan Airlines, Turkish Airlines, dan EVA Air yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif BFS, Mohd. Fadhli Abdul Rahman berkata, pengiktirafan ini adalah perkara yang membanggakan bagi semua warga kerjanya.

“Ia juga akan mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai pemain utama dalam industri ­penyediaan makanan halal bagi penerbangan global,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

BFS adalah anak syarikat kepada Brahim’s Holdings Berhad (BHB).

Mohd. Fadhli menerangkan, reputasi BFS sebagai penyedia makanan halal dalam penerbangan terbesar di rantau ini adalah wajar kerana ia memiliki dapur yang canggih dengan meliputi lebih kurang 60,000 meter persegi.

Jelasnya, kemudahan besar ini dikendalikan oleh lebih 550 pekerja berdedikasi, beroperasi sepanjang masa, mampu menghasilkan sehingga 60,000 hidangan setiap hari mengikut stan­dard halal dan juga memastikan kualiti dan keselamatan tertinggi dalam ­penyediaan makanan, menjadikan BFS nama yang dipercayai dalam industri ini.

Tambah beliau, untuk perancangan masa depan, BFS akan memperluaskan asas perniagaannya, menambah bilangan pelanggan baharu dan berpotensi selain mahu mengekalkan nilai teras integriti, inovasi dan kepuasan pelanggan.

“BFS lebih daripada sekadar perkhidmatan katering tetapi ia adalah simbol kecemerlangan dan dedikasi dalam industri makanan halal.

“Skala operasi yang mengagumkan, digabungkan dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap kualiti dan inovasi, memastikan bahawa kami akan terus menerajui bidang ini akan datang,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI