HOUSTON – Argentina menepati ramalan mara ke separuh akhir Copa America 2024 selepas mencatat kemenangan 4-2 menerusi sepakan penalti ke atas Ecuador setelah kedua-dua pasukan seri 1-1 dalam aksi suku akhir di Stadium NRG pagi tadi.
Kejayaan itu menyaksikan La Albiceleste berada pada landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan dimenangi mereka pada edisi tahun lalu, sekali gus memenangi gelaran keseluruhan buat kali ke-16 di pentas berkenaan.
Juara dunia bermula cemerlang dengan membuka tirai jaringan menerusi tandukan Lisandro Martinez yang berpunca daripada sepakan penjuru Lionel Messi pada minit ke-35.
Skuad bimbingan Lionel Scaloni itu berpeluang menggandakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama, tetapi percubaan Enzo Fernandez berjaya ditepis penjaga gol Ecuador, Alexander Dominguez.
Nasib ternyata menyebelahi Argentina apabila penyerang Ecuador, Enner Valencia gagal menyudahkan sepakan penalti apabila sepakannya terkena tiang gol meskipun sudah berjaya menewaskan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez pada minit ke-62.
Bagaimanapun, Argentina terpaksa akur apabila gawang mereka akhirnya bolos di penghujung perlawanan selepas Kevin Rodriguez menampan masuk bola hasil hantaran daripada John Yeboah untuk menyamakan kedudukan dan mengheret aksi ke penentuan sepakan penalti.
La Albiceleste memastikan kemenangan mereka selepas Julian Alvarez, Alexis Mac Allister, Gonzalo Montiel dan Nicolas Otamendi berjaya menyudahkan sepakan penalti menyelamatkan maruah Messi yang gagal mengambilnya dalam penentuan tersebut.
Kini, Argentina akan menanti pemenang antara Venezuela dan Kanada yang akan berentap di suku akhir pagi esok. – AGENSI