PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita yang sanggup membelikan anaknya air minuman jenama dari negara Barat berharga RM89 mendapat perhatian orang ramai.
Menerusi perkongsian video oleh @mhmmdhsm di laman X, mereka membeli air tersebut daripada mesin automatik atau gedegang diikuti dengan satu bungkusan bar coklat dengan harga RM55.
Berdasarkan rakaman, rata-rata harga air minuman dalam botol dan makanan ringan yang dipaparkan pada mesin itu dalam lingkungan RM10 ke RM90.
Selain itu, wanita berkenaan turut meluahkan rasa kecewa apabila promosi beli satu, percuma satu tidak dapat diterima kerana sebotol lagi tersekat dan tidak dapat dikeluarkan dari mesin tersebut.
Meninjau ke ruang komen, rata-rata pengguna media sosial memberikan pelbagai reaksi.
“Air minuman bertenaga ini dari pengeluar Barat. Harga mahal sebab jenama dan shipping (penghantaran). Mereka tiada kilang pembuatan di Asia Tenggara untuk kurangkan kos dan jual murah,” komen @dauss.
“Tak ada yang istimewa pun, janganlah beli dengan harga mengarut. Di UK, beli 6 botol baru RM12 waktu promosi. Rasa macam air manis biasa saja, baik beli ‘slurpee’ di 7E,” komen @kent230518.
“Sudahlah mahal, berapa banyak gula dalam botol tu. Saya tak faham kenapa masih nak belikan untuk anak. Bukan isu ‘jangan kedekut dengan anak’ tapi masalahnya air itu tak sesuai untuk budak-budak,” komen @yanizainal. – KOSMO! ONLINE