PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2024M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya ( PICC ) pada Ahad ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut berkenan berangkat ke majlis tersebut.
“Kemuncak Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2024M ini adalah penyampaian Titah Diraja oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan diikuti dengan Penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga dijadual hadir bersama bagi bagi menyemarakkan lagi majlis sambutan pada tahun ini.
Seramai 6,000 orang tetamu dijangka hadir terdiri daripada Menteri dan Timbalan Menteri, duta-duta, ketua-ketua jabatan atau agensi kerajaan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, kontinjen yang mengambil bahagian dan orang awam.
Hakimah berkata, majlis berkenaan akan dimulakan dengan Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun di Masjid Putra, pada pukul 7 malam esok, yang akan dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Bacaan doa berkenaan akan dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra, Dr. Muhammad Zakuwa Rodzali.
“Justeru, umat Islam turut dijemput ke Masjid Putra dan disarankan untuk bersama-sama berdoa memohon perlindungan dan keselamatan negara kita yang tercinta ini,” ujarnya.
Tambahnya, tema “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani” diangkat pada sambutan kali ini adalah sebagai manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan tema yang sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki dunia dan akhirat.
Hakimah berkata, sambutan Maal Hijrah yang disambut saban tahun di negara kita ini tentunya mempunyai pengertian tersendiri bagi mendidik masyarakat agar sentiasa menghayati peristiwa besar yang pernah berlaku dalam sejarah Islam.
“Peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW mempunyai banyak pengajaran dan nilai yang dapat kita contohi dan aplikasikan dalam hidup pada masa ini. Saya yakin setiap dari kita mempunyai perspektif dan pengertian masing-masing berkaitan peristiwa hijrah ini.
“Harapan saya, semoga sambutan Maal Hijrah tahun ini dapat memberi manfaat yang bermakna buat kita semua ke arah melahirkan ummah yang berjaya dunia dan akhirat selaras dengan tema sambutan Maal Hijrah tahun ini ke arah menjayakan agenda pembaharuan dan pembangunan ummah sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani yang diperkenal Perdana Menteri,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE