fbpx

3 didakwa culik lelaki Bangladesh tuntut RM200,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh dua lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar dibawa ke Mahkamah Majistret George Town, hari ini. Foto oleh SAFINA RAMLI/KOSMO!

GEORGE TOWN – Dua lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik seorang lelaki Bangladesh, 21 Jun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh iaitu Md Jalis Mahamud, 29, Md Mamun Hosen, 22 dan Khang Khin Tun, 26, ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi kerana kesemua mereka tidak memahami bahasa Melayu.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh dengan niat bersama telah menculik Mohamad Kabir Husin dengan tujuan menuntut wang tebusan berjumlah 5 juta Bangladesh Taka atau bersamaan RM200,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 21 Jun lalu, kira-kira pukul 6.03 petang, di hadapan Maybank di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini.

Pendakwaan terhadap ketiga-tiga tertuduh dibuat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman penjara antara 30 sehingga 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Julai depan untuk sebutan semula kes dengan kehadiran jurubahasa bahasa Bangladesh dan Myanmar dan tiada jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI