PETALING JAYA – Seorang wanita berkongsi pengalaman ngeri apabila rakan lelakinya ‘mencuri’ beberapa keping gambarnya dan dijadikan ‘alat’ untuk memancing kaum sejenis di akaun dark side (DS).
Dia yang menggunakan akuan X @fitrianimohd membuat pendedahan itu termasuk tangkap layar perbualan lucah lelaki tersebut di beberapa platform media sosial menggunakan fotonya sebagai gambar profil.
Katanya, kejadian itu berlaku pada tahun 2020, namun ia baru disedari pada 13 Februari lalu.
Ini selepas beberapa rakannya memaklumkan terdapat akaun mencurigakan yang menggunakan gambarnya dengan menjalankan aktiviti tidak bermoral.
“Sebelum ini pernah kantoi dan sekarang pakai akaun nama lain.
“Pada 14 Februari 2024, saya membuat penjelasan dan meminta sesiapa yang mengetahui perkara itu namun usaha tersebut gagal. Saya cakap dengan suami sama ada kita tunggu individu terlibat minta maaf atau kami sendiri menghubunginya.
“Pada 10 Jun 2024, ada seorang (individu) ini menghubungi saya di Instagram, beritahu dia bercinta dengan seseorang bernama “Nini” yang mana profilnya menggunakan gambar saya.
“Sudah setahun setengah. Masa ini (ketika itu) saya dah panik,” kongsinya.
Menurut wanita itu, dia percaya individu menyamar dirinya adalah mereka yang rapat atau orang terdekatnya.
“Masa ini, saya dapat rasakan mungkin seseorang yang rapat dengan saya. Dia tahu semua maklumat saya dan keluarga yang mana ia sangat menakutkan,” katanya.
Bercerita lanjut, wanita itu memaklumkan selepas membuat semakan dan siasatan terperinci, dia berjaya mengesan individu tidak bertanggungjawab itu.
Tambahnya, laporan polis sudah dibuat bagi melindungi keselamatan dirinya dan keluarga selain mahu memastikan akaun tersebut diturunkan segera daripada mana-mana platform media sosial. – KOSMO! ONLINE