KUALA LUMPUR – Malaysia akan mengadaptasi teknologi digital dengan mewujudkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030 menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dalam misi ‘Tech Up for a Digitally Vibrant Nation’.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, kilang-kilang pintar dijangka menyumbang RM36.8 bilion kepada (Keluaran Dalam Negeri Kasar) KDNK dan mencipta lebih dari 150,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang analisis data, kecerdasan buatan, dan industri Internet Pelbagai Benda (IoT).
“Kilang pintar ini mendorong inovasi teknologi dalam sektor pembuatan, yang bakal menjadikan Malaysia sebuah negara kompetitif dan berdaya saing di peringkat global.
“Transformasi digital bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan ini perlu berteraskan kemajuan dalam bidang terkini seperti ‘robotics autonomy’.
“Bidang lain merangkumi data raya (big data), realiti terimbuh (augmented reality), pengkomputeran awan (cloud computing), internet-of- things, percetakan 3D, keselamatan siber, simulasi dan integrasi sistem digital,” katanya ketika menghadiri Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Program dan Inisiatif Rangkaian 5G Vertikal serta Perusahaan Kecil dan Sederhana antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan (MIDA).
Menurut Zafrul, teknologi 5G merupakan pemboleh cara penting atau ‘game changer’ untuk menyediakan tahap kelajuan dan kebolehpercayaan internet lebih tinggi.
“Penggunaan teknologi 5G akan membolehkan industri mengadaptasi sepenuhnya kecerdasan teknologi baru dengan lebih efektif.
“Kebolehan ini bakal merangsang pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang baru dalam pelbagai sektor serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi yang berorientasikan digital,” katanya.
Jelasnya, MITI dan MIDA dengan kerjasama MCMC bertekad untuk memperkukuhkan daya saing syarikat tempatan, terutama bagi industri perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia, melalui penggunaan teknologi 5G. – KOSMO! ONLINE