SHAH ALAM – Kerja-kerja perobohan Stadium Shah Alam yang bermula Isnin lalu mencetuskan pelbagai emosi dalam kalangan penduduk dan peminat sukan di negeri ini.
Stadium ikonik serta lambang kebanggaan Selangor itu juga dianggap sebagai ‘rumah kedua’ buat peminat berkumpul dan bersorak ketika perlawanan melibatkan pasukan Red Giants.
Seorang kakitangan Pusat Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Saiful Rahmat, 41, berkata, banyak kenangan manis terpahat dalam dirinya memandangkan pernah belajar di situ.
“Stadium ini pernah dijadikan sebagai fakulti sementara untuk Sains Sukan dan Rekreasi pada 2002. Hendak cakap pasal memori, memang banyak.
“Apabila ada perlawanan bola sepak pasti akan datang meskipun jarak rumah sejauh 60 kilometer bersama keluarga ketika remaja dulu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Katanya, sebagai penggiat sukan pastinya akan berasa sedih, namun perlu melihat dari sudut positif dalam memberi laluan kepada pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) sebagai ikon baharu.
Ujar seorang staf Kolej Mara Banting, Wan Hafizi Wan Kamaluddin, 41, gema sorakan penyokong dan ketukan gendang setiap kali perlawanan berlangsung di stadium tersebut masih terngiang-ngiang di telinganya.
“Justeru, saya berharap pembinaan KSSA akan memeriahkan sukan bola sepak di negeri ini selain ekonomi setempat.
“Perubahan perlu dilakukan supaya Selangor mempunyai stadium yang berkualiti tinggi dan sekali lagi menjadi kebanggaan untuk rakyat negeri ini,” ujarnya.
Seorang usahawan, Safie Basha, 40, berkata, dia reda kerana pembangunan semula lebih berkesan dari segi kos kerana fasiliti stadium lama terlalu uzur dan memerlukan kos pembaikan yang besar dan mahal.
“Stadium ini diumpamakan sebagai rumah kedua kepada saya terutama hujung minggu apabila melibatkan perlawanan pasukan merah kuning.
“Bila saya dengar ia sudah mula dirobohkan sedih juga tetapi namun pada sama teruja menantikan stadium yang lebih canggih,” katanya.
Stadium Shah Alam yang mula dibina pada tahun 1994 mula dirobohkan selepas syarikat pemaju menerima permit kelulusan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Perobohannya bagi memberikan ruang buat pembangunan KSSA yang dijangka siap pada 2026 dengan turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti hotel dan pusat beli-belah bersambungan dengan Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 di Seksyen 13 di sini.
Kali terakhir, Gergasi Merah menggunakan Stadium Shah Alam ialah pada Februari 2020 sebelum berpindah ke Stadium Petaling Jaya. -KOSMO! ONLINE