MALANG – Skuad olahraga terus menambah koleksi pingat emas pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia apabila memenangi empat pingat emas, hari ini.
Pada saingan yang berlangsung di Lapangan Atletik Universitas Negeri Surabaya (Unesa), Muhammad Azeem Fahmi yang baru sahaja layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 memenangi emas acara 200 meter (m) dengan catatan masa 21.15 saat (s).
Pingat perak dimenangi atlet tuan rumah, Muhamad B. Fitadi selepas mencatat 21.43s manakala gangsa menjadi milik Ruamchok Semathong dari Thailand menerusi catatan masa 21.80s.
Atlet tukul besi lelaki, Sadat Marzuqi Ajisan turut merangkul emas selepas melakukan balingan dengan jarak 59.18m diikuti wakil Indonesia, Putra Rafika (47.48m) dan Jhon Laur Ballelos (45.75m) dari Filipina.
Emas ketiga olahraga hari ini hadir menerusi Wan Muhammad Fazri Wan Zahri dalam acara 800m selepas mencatat 1:51.28s manakala perak milik David Paul Matibag dari Filipina (1:52.25s) diikuti atlet Timor Leste, Manuel Belo Amaral (1:53.31s).
Muhammad Aiman Syazwan melengkapkan kutipan empat pingat skuad olahraga hari ini selepas mencatat 2.10m menewaskan rakan sepasukan, Farrel Felix Jurus (2.05m) yang meraih perak diikuti Rafael (2.05m) dari Indonesia dengan gangsa.
Keputusan yang dicatat hari ini menyaksikan skuad olahraga sudah mencapai sasaran diletakkan selepas meraih 10 pingat emas, sembilan perak dan enam gangsa. – KOSMO! ONLINE